KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat semalam kecoh sebentar apabila beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menuntut supaya Ahli Parlimen Ipoh Barat dari DAP M Kulasegaran menarik balik dan memohon maaf atas kenyataannya menuduh Menteri Pelajaran dan timbalannya ’pekak’.
Kulasegaran membuat kenyataan itu apabila mendakwa Kementerian Pelajaran enggan mengambil kira bantahan pihak-pihak berkepentingan supaya novel kontroversi Interlok tidak dijadikan buku rujukan dalam mata pelajaran Sastera bagi Tingkatan Lima.
“Kenapa kerajaan masih guna novel Interlok? Jawapan dia tak ada kena mengena dengan apa yang saya soal. Dia kata, untuk makluman YB, panel bebas telah ditubuh untuk teliti dan kaji kandungan, pengumuman akan dibuat.
“Ini semua tipu kerana novel sudah dipakai di sekolah. Adakah pegawai tidak tahu soalan saya tanya atau menteri itu pekak?” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, semalam.
Kenyataan pedas itu menyebabkan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) bangun membantah diikuti Hamin Samuri (BN-Ledang) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) mengakibatkan dewan jadi kecoh.
“Saya begitu tersentak perkataan dikeluarkan Ipoh Barat,” kata Mohd Nor manakala penyokong kerajaan yang lain terus mendesak Kulasegaran menarik balik kenyataan itu.
Tindakan Kulasegaran ditegur Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee yang mengingatkan supaya tidak menggunakan perkataan tidak sopan ketika berucap. - bernama