Grab the widget  IWeb Gator

Friday, March 18, 2011

Selangor tidak sembunyi salah laku pegawai

SHAH ALAM, 18 Mac: Kerajaan Selangor hari ini mengedarkan laporan audit Yayasan Selangor yang disemak oleh Bahagian Audit Dalaman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, semakan audit Yayasan Selangor banyak menumpu hal-hal berkaitan pengurusan perbelanjaan Majlis Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor yang dirancang ada 15 November 2010 lalu.
Katanya, hasil audit dalaman bertarikh 14 Disember 2010 mendapati terdapat beberapa isu berkaitan aturan perbelanjaan yang dikatakan tidak mengikut aturan biasa.
“Terdapat juga tindakan yang dikatakan tidak menjaga kepentingan Yayasan Selangor,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, antara tindakan yang menunjukkan tadbir urus korporat yang tidak baik ialah seramai 18  warga kerja telah berhenti dan 50 lagi ditukarkan dalam tempoh Mac hingga November 2010.
Beliau berkata, perbelanjaan yang tidak telus, tidak berhemah dan tidak munasabah menyebabkan kos perbelanjaan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor mencecah hampir RM1 juta malah terdapat perbelanjaan yang selesai dibayar kepada Pengurus Acara walaupun aktiviti belum dilaksanakan.
Tambahnya lagi, pengurus besar juga meluluskan elaun-elaun yang tidak sepatutnya dibayar kepada ahli mesyuarat.
Beliau menjelaskan, terdapat 12 keputusan tertinggi dibuat sepanjang 2010 hanya melalui Circular Resolusi malah tidak dimaklumkan atau diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri mengikut kehendak Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 12 1993-arahan bagi meningkatkan kualiti perancangan dan kawalan ke atas pengurusan syarikat-syarikat kerajaan.
Semakan Audit juga, katanya mendapati Timbalan Pengurusan Besar (Pengurusan)  tidak menghormati arahan bercuti dalam siasatan dengan hadir mesyuarat yang dihadiri Pengurus Besar.
“Perbelanjaan tanpa perancangan menyebabkan kedudukan kewangan Yayasan Selangor mengalami defisit sebanyak RM7.41 juta sehingga November 2010,” ujarnya lagi.
Kerajaan Selangor, tegasnya telah dan akan terus meneliti setiap syor yang diberikan dan akan menggunapakai cadangan tersebut dari semasa ke semasa demi menjaga kredibiliti Yayasan Selangor milikan penuh Kerajaan Negeri.
Justeru, katanya pada 5 Januari 2011, satu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) bagi menjawab setiap kuiri yang ditimbulkan.
Beliau menjelaskan lagi, proses yang teratur, adil dan bebas telah dijalankan. Pandangan serta saranan dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga telah diperolehi.
Akhirnya, kata beliau pada 17 Februari 2011, Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Yayasan Selangor telah sebulat suara memutuskan untuk menamatkan kontrak Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dengan alasan gagal menunaikan tanggung jawab dan urus tadbir kewangan yang baik serta tidak prihatin dengan prosedur yayasan.
Pada 18 Februari 2011, satu surat yang ditandatangani Menteri Besar telah dikeluarkan yang mengarahkan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) ditamatkan kontrak dalam tempoh 24 jam berkuatkuasa serta merta.
“Kerajaan Selangor sentiasa berpegang pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” tegasnya.
Beliau menambah, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri semua institusi termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri bukan sahaja mengamalkan perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah malah menyediakan audit tahunan yang tertib, lengkap dan teratur untuk semakan umum.
“Kerajaan Selangor akan sentiasa bersikap telus dan tidak akan menyembunyikan sebarang salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pegawai, kakitangan awam dan anak-anak syarikat di bawah Kerajaan Negeri.
“Kita juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang difikirkan perlu demi menjaga amanah yang diberikan rakyat Selangor,” katanya lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular