Grab the widget  IWeb Gator

Thursday, March 17, 2011

Selangor minta PM jelaskan projek River Of Life


SHAH ALAM, 16 Mac: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menulis surat kepada Perdana Menteri bagi mendapatkan penjelasan berhubung projek River Of Life di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk membersihkan Sungai Klang yang dibahagikan kepada tiga aspek iaitu pembersihan, pengindahan dan pembangunan.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan memaklumkan surat itu telah dihantar kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, semalam.
Dalam surat itu, Menteri Besar menuntut penjelasan Perdana Menteri mengapa tiada sebarang perkara substantif yang dilakukan dalam menjayakan projek River of Life walaupun mesyuarat telah diadakan yang dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Beliau juga menyatakan kekecewaan apabila timbul beberapa persoalan mengenai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam proses membuat keputusan dan mahukan Perdana Menteri menjelaskan beberapa perkara iaitu:
- Pemilihan MRCB-Ekovest dan adakah tender terbuka digunapakai dalam pemilihan syarikat itu sebagai Project Development Partner (PDP).
- Pelan kewangan dan persetujuan antara kerajaan Persekutuan dan MRCB-Ekovest berhubung projek itu secara keseluruhan dan jumlah yang akan dibayar kepada syarikat itu bagi menyiapkan projek berkenaan
- Kenapa Kerajaan Selangor disisihkan daripada projek pembersihan dan pembangunan Sungai Klang
- Mengapa LUAS tidak diberi tanggungjawab terhadap projek pembersihan sungai di kawasan Selangor
- Meminta peruntukkan RM2 juta turut diberikan kepada PBT lain di sepanjang laluan sungai iaitu MBSA, MBPJ, MPSJ dan MPK.
Dalam surat itu, Khalid menjelaskan kepada Najib bahawa Kerajaan Selangor telah memulakan usaha membersihkan Sungai Klang kira-kira setahun sebelum projek River of Life yang melibatkan masa serta peruntukan kewangan.
Kerajaan Selangor juga telah menyenarai pendek tiga syarikat untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan Sungai Klang.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dengan tiga syarikat berkenaan bagi melihat teknologi yang dicadangkan oleh syarikat berkenaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular