KUALA LUMPUR, 18 Mac: Umat Islam disaran berusaha mempertingkatkan kefahaman ajaran Islam agar lebih bersedia untuk berhadapan konflik agama yang semakin kompleks.
Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Abu Qassim Nor Azmi berkata, hanya dengan akidah yang mantap, ilmu yang benar, dan nilai hikmah dapat mempertajam dan memperluas skop dakwah.
“Kita tidak harus selamanya berselindung di sebalik undang-undang yang boleh pada bila-bila masa terpinda,” ujarnya.
Justeru, PKPIM mengulangi pendirian dengan menggesa 35 ribu Al-Kitab Injil berbahasa Melayu ditarik balik dan dibekukan pengedarannya kerana terdapat unsur subjudis ekoran beberapa perkara masih dalam proses perundangan khususnya berkaitan penggunaan Kalimah Allah dan lain-lain perkataan yang menjadi pertikaian sebelum ini.
Meskipun begitu, katanya PKPIM menyeru semua pihak agar akur dengan peruntukan perlembagaan dan undang-undang negara demi menjaga keamanan dan kesejahteraan umum.
Menurutnya, enakmen kawalan serta lain-lain peraturan yang terlibat harus dihormati.
Walau bagaimanapun, kata beliau secara dasar, ini tidak menolak usaha menterjemahnya dalam apa sahaja bahasa untuk lebih difahami penganut agama tersebut.
“Isunya, penterjemahan tersebut harus dibuat dengan tepat, benar dan ikhlas serta menuruti peraturan dan undang-undang setempat bagi mengelak konflik umum,” ujarnya.
Hal ini, tambahnya selaras dengan prinsip Islam yang tidak menghalang penganut agama lain untuk mendalami agama mereka.
PKPIM, katanya mengajak semua pihak terutamanya umat Islam untuk melihat isu itu dari sudut yang lebih luas.
“Apakah yang akan terjadi sekiranya Barat mengharamkan penterjemahan Al-Quran dalam Bahasa Inggeris, Perancis dan lain-lain bahasa yang menjadi medium umat Islam di sana untuk mendalami Al-Quran?
“Bagaimanakah nanti bagi Yvonne Ridley dan Cat Stevens untuk terus mendalami Al-Quran sekiranya ia berlaku?” soalnya.
PKPIM juga, ujarnya komited bahawa konsolidasi agamawan berwibawa harus diberikan ruang yang secukupnya untuk mengendurkan ketegangan dan menguraikan kekeliruan terhadap isu ini.
Menurutnya, dialog dan wacana bagi meningkatkan kefahaman antara agama perlu diperbanyakkan.
“Kita perlu serius dalam melahirkan penganut yang yakin pada agamanya serta menghormati keyakinan agama bagi penganut selain mereka,” katanya.