KUALA LUMPUR 17 MAC : Sebuah agensi pengiklanan yang mengendalikan kempen "Malaysia Truly Asia" mendakwa mereka menolak pembaharuan kontrak dengan Kementerian Pelancongan setelah diminta memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak itu.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 'Intergrated Strategic Communications' (ISC), Austen Zecha berkata, berikutan kejadian itu pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)untuk diambil tindakan.
Austen Zecha dalam satu kenyataan medianya berkata, ISC turut membidas kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang mendakwa pemberian tender kementeriannya yang bernilai RM 381 juta secara keseluruhannya itu dibuat secara telus.
Malah menurut Zecha, beliau dan timbalannya turut ditemui 'seseorang' pada 19 Januari lalu supaya 'menawarkan Kementerian Pelancongan 50 peratus rebat atau sebahagian keuntungan daripada kontrak tersebut.
Jelas Zecha, sebagai balasannya ISC akan 'memenangi semula' kontrak Tourism Malaysia bagi kawasan Eropah, Amerika Utara dan Oceania.
"Hal ini menyebabkan ISC mengambil keputusan menarik kembali tendernya pada rabu, 26 Januari," kata Zecha.
Katanya, ISC sepenuhnya bersetuju insiden tersebut menghina kredibiliti agensi ini sekali gus menambah kecurigaanya mengenai proses pemberian tender oleh Kementerian Pelancongan itu.
Menurut Zecha lagi, ISC mempunyai rekod bersih dalam kempen Malaysia Truly Asia sejak mengendalikannya pada 1999 di bawah empat Menteri berbeza iaitu Datuk Leo Michael Toyad, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Datuk Seri Azalina Othman dan Datuk Seri Ng Yen Yen.
Zecha berkata, Kementerian Pelancongan juga sebelum ini hanya membenarkan ISC meminta RM 3 Juta bil bagi 2009 dan 2010 untuk kontrak 3 tahun sebelumnya di Eropah, sedangkan sepatutnya ia boleh diperolehi dengan jumlah RM 18 juta setahun.
"Ia hanya setelah pentadbiran Menteri ini (Ng Yen Yen), sebelum ini atau semasa syarikat sebelum ini pada tahun 1970-an, 80-an dan 90-an tidak pernah pihak Kementerian membenarkan ISC atau mana-mana syarikat untuk memberi bil bagi 1 per enam dari nilai kontrak tahunan, atau sebanyak kira-kira 17 peratus.
"Jadi apa yang berlaku kepada 83 peratus lagi dari kontrak bernilai RM 18 juta pada tahun 2009 dan 2010, dan siapa yang membenarkan serta mendapat keuntungan dari komisyen dan invois bernilai RM 30 juta dalam tempoh 2 tahun ini?" tanya Zecha lagi.
Tambah Zecha, beliau turut mempersoalkan penglibatan Ng dalam isu ini kerana komennya dalam Persidangan Parlimen Selasa lalu bertentangan dengan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai lima syarikat yang diberikan kontrak selama tiga tahun dan bernilai RM 381 juta atau RM 127 juta setahun itu.
15 Mac tahun lalu, Ng Yen Yen membuat laporan polis ke atas sebuah blog yang mendakwa beliau memberi kontrak untuk mempromosi produk pelancongan kepada sebuah syarikat milik rakan baik anaknya dan menggunakan keuntungan dari komisyen tersebut bagi berkempen untuk pemilihan MCA.