Grab the widget  IWeb Gator

Friday, March 18, 2011

Bahasa Melayu milik semua rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Mac : Penganut Kristian tidak sewajar dihalang untuk menggunakan Al Kitab memandang Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi negara, milik semua rakyat Malaysia. Kata Datuk Harun Taib Ketua Dewan Ulama PAS.


PAS tidak membantah atau menghalang penggunaan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia sambil menyifatkan ia tidak menjejaskan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini. Katanya..
“Bagi saya tiada masalah kalau kitab Injil digunakan dalam Bahasa Malaysia ... bukan sahaja dalam Bahasa Malaysia kalau dalam bahasa lain juga tiada masalah.
“Adakah akidah orang Islam akan terjejas dengan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia ini? Tidak, ia hanya sekadar kitab yang dibaca penganut Kristian ... itu sahaja. Jadi, kenapa mesti nak halang,” katanya.
Beliau berkata kitab Injil itu hanya diedarkan di kalangan penganut Kristian jadi orang Islam tidak perlu bimbang mengenai perkara itu.
“Tiada masalah, cuma ia tidak boleh disebarkan di kalangan orang Islam ... itu sahaja, kalau nak guna dalam Bahasa Malaysia memang tiada masalah.
“Saya tiada bantahan dalam perkara ini,” katanya.
Ditanya mengenai penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil versi Bahasa Malaysia, Harun yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, penganut Kristian boleh menggunakan istilah itu dengan syarat hanya di kalangan masyarakat itu.
“Kalau orang Kristian nak guna istilah Allah bagi merujuk Tuhan mereka tiada masalah, kalau mereka yakin Allah adalah Tuhan bagi mereka, biarkan sahaja,” kata beliau lagi.
“Lagipun ia berbeza dengan orang Islam kita ‘Allah s.w.t’ tapi orang Kristian ‘Allah’ sahaja, jadi itu ada beza. Kalau mereka yakin itu hak mereka.
“Saya tak bantah kalau orang Kristian nak gunakan Allah tapi hanya di kalangan mereka sahaja. Jadi orang Islam kena berhati-hati dalam perkara ini,” katanya.
Selasa lalu, kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan 35,000 naskhah kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang ekoran gesaan pelbagai pihak mendesak kerajaan berbuat demikian.
Keputusan itu selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah membenarkan pengeluaran dan penyebaran kitab Injil dalam Bahasa Malaysia secara terhad dan terkawal, di mana buku-buku tersebut mesti dicop dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian Sahaja”.
Beberapa pihak termasuk PAS berpendapat tidak wajar kitab Injil dalam Bahasa Malaysia seharusnya tidak ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri. Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Muhammad Nur Manuty berkata, penggunaan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia tidak akan memesongkan akidah orang Islam. (IH)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular