BESUT - Lapan individu termasuk tiga remaja perempuan dicekup penguat kuasa Pejabat Agama Daerah dan polis kerana disyaki berkhalwat dalam sebuah rumah di taman perumahan dekat Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut, di sini.
Dalam serbuan kira-kira jam 1.06 pagi itu, lima lelaki berusia antara 17 dan 22 tahun dan tiga pelajar perempuan sebuah kolej swasta di Bachok, Kelantan, masing-masing berusia 19 tahun ditahan.
Pegawai Agama Daerah, Nik Zulhaiza Ismail berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota penguatkuasa agama dibantu pegawai dan anggota polis menyerbu sebuah rumah milik saudara seorang lelaki yang ditahan itu.
Menurutnya, ketika serbuan seorang lelaki membuka pintu dan mendapati ada tiga lelaki lain berada di ruang tamu rumah itu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua remaja wanita berada dalam satu bilik manakala seorang lelaki dan remaja perempuan berdua-duanya dalam bilik lain,” katanya.
Nik Zulhaiza berkata, sudah empat kali rumah itu diserbu sebelum ini.
Kata Nik Zulhaiza lagi, pihaknya sudah kerap menerima aduan orang ramai mendakwa berlaku perbuatan tidak bermoral di rumah itu termasuk menemui botol minuman keras.
Dua daripada lelaki itu bekerja pemandu bot dan masing-masing seorang nelayan, penternak ikan serta seorang pengganggur.
Semua mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah untuk diambil keterangan dan dibebas dengan jaminan.
Dalam kes berasingan sepasang kekasih warga Indonesia berusia 20-an merayu kepada anggota penguatkuasa agar menikahkan mereka serta merta di sebuah bilik hotel di Jertih tempat mereka ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan polis, penguat kuasa Pejabat Agama Daerah dan Majlis Daerah Besut (MDB).
Lelaki bekerja buruh binaan sebuah sekolah di daerah ini memberitahu mereka merancang berkahwin tetapi belum berkemampuan. SH