KOTA BHARU - Kerajaan Negeri menyifatkan isu Ladang Rakyat yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak sepertimana yang dilaporkan media kini seolah-olah mempunyai unsur sabotaj.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahamad Yakob berkata, isu yang didakwa telah lama selesai dan dipersetujui oleh semua pihak, namun dibangkitkan kembali seolah-olah tiada sebarang rundingan dengan masyarakat terbabit.
“Sedangkan pihak yang terdahulu membuat tuntutan telah mendapat bahagian masing-masing dalam kawasan yang direntah,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kira-kira 100 bantahan yang dibuat oleh penduduk Kampung Serian Gua Musang kelmarin yang menyatakan kebimbangan ladang getah bersama dusun buah-buahan milik mereka akan dirampas bila-bila masa oleh membangunkan projek Ladang Rakyat.
Mengulas itu tersebut, Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah berkata, laporan yang menyatakan 880 hektar tanah di Kampung Serian akan diambil untuk membangunkan Ladang Rakyat buat kali kedua adalah tidak tepat.
“Perbincangan sudah dibuat dengan penduduk sebelum projek ini dimulakan lagi iaitu sejak 2006 di Masjid Kampung Baru Batu 11 yang mana penduduk setempat memberikan kerjasama untuk menunjuk kawasan terbabit tidak terkena dengan kawasan yang akan dibangunkan untuk Ladang Rakyat.
“Setelah mengambil kira kawasan yang ditunjuk oleh penduduk tersebut, pelan kawasan kemudiannya dibuat oleh pihak juruukur yang dilantik oleh Kerajaan Negeri secara pelan pra-hitungan.
“Seterusnya, semasa pihak juru ukur membuat ukur halus dan menanam batu sempadan, terdapat beberapa bantahan daripada penduduk setempat dan bantahan dibuat beberapa kali,” katanya.
Beliau berkata, bantahan itu dijalankan peringkat pentadbir tanah Gua Musang dan peringkat Timbalan Menteri Besar di mana kaedah menang-menang dicapai.
Menurutnya, melalui kaedah itu, pihak Ladang Rakyat bersetuju mengeluarkan lebih daripada 3,500 ekar daripada kawasan asal Ladang Rakyat untuk diserah kepada penduduk setempat dan mereka setuju untuk tidak lagi mengganggu pemajuan Ladang Rakyat di kawasan terbabit.
“Baki daripada kawasan yang diserahkan itu dipersetujui penduduk setempat untuk dimajukan oleh Ladang Rakyat dan bertitik-tolak dari situ, kerja ukur halus dan penanaman batu sempadan disambung semula dan disiapkan. Kini, kawasan itu dikeluarkan hak milik di atas nama Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan,” katanya.
Ahmad berkata, penduduk setempat setelah mendapat tahu hak milik dikeluarkan di atas nama perbadanan, mereka didapati bertindak membuat bantahan awal seolah-olah tidak pernah ada perundingan.
“Pihak Ladang Rakyat banyak bertolak-ansur dengan mereka sehinggakan ladang asalnya berkeluasan hampir 11,000 ekar kini hanya berkeluasan 7,000 ekar sahaja.
“Usaha ini seolah-olah ada perancangan untuk mensabotaj Program Ladang Rakyat di kawasan ini kerana isu yang sekian lama selesai dan dipersetujui semua pihak dibangkitkan semula,” katanya.