SHAH ALAM: Akibat salah urus tadbir kewangan dan tidak prihatin dengan prosedur, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Yayasan Selangor ditamatkan kontraknya 24 jam yang berkuat kuasa serta merta.
Perkara itu diputuskan sebulat suara oleh Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Yayasan Selangor pada 17 Februari lalu terhadap Mohd Sharifuddin Sulaiman.
Manakala satu surat yang mengarahkan agar Sharifuddin ditamatkan kontraknya ditandatangani oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada tarikh yang sama dengan penamatan kontrak Sharifuddin.
Sebelum ini, Bahagian Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah melaksanakan audit terhadap Yayasan Selangor pada 29 November sehingga 1 Disember 2010.
Laporan audit itu siap dan diserahkan kepada kerajaan Selangor seterusnya diserahkan kepada Khalid yang juga Pengerusi Lembaga
Pemegang Amanah Yayasan Selangor bersama laporan anak syarikatnya yang lain, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 17 Disember tahun lalu.
Yayasan Selangor disiasat selepas menerima aduan berhubung perbelanjaan majlis makan ulang tahunnya ke-40 yang mencecah sehingga RM300,000.
Berikutan itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan keberangkatan ke majlis sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor di Asrama Tun Dr Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur kerana terkejut dan dukacita dengan kos penganjurannya. - FMT