KUALA LUMPUR, 26 Jan — Putrajaya mengetepikan kebimbangan banyak pihak dengan menegaskan bahawa kerajaan tiada rancangan untuk memperkenalkan undang-undang baru untuk mengawal kandungan media online termasuk Facebook.
Laporan Bernama semalam menyebut Kementerian Dalam Negeri akan membuat pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 supaya menjadi lebih komprehensif dan tidak terhad kepada bahan cetak semata-mata.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam, dipetik berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu sama ada ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan Internet, Facebook dan perisian.
“Kita harap pindaan ini dapat dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun ini. Kita perlu mengatasi kelemahan yang ada terutamanya apabila berdepan dengan bahan-bahan multimedia,” katanya semalam.
Bagaimanapun hari ini Putrajaya menjelaskan kerajaan mempunyai kuasa untuk mengetepikan janji dalam Bil Jaminan sebelum ini bahawa ia tidak akan menapis kandungan Internet selari dengan pembangunan Koridor Raya Multimedia, khususnya dalam perkara-perkara berkaitan dengan keselamatan nasional.
Ketika mengumumkan pendirian itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, dalam apa sahaja perkara yang memberi kesan ke atas keselamatan negara, undang-undang negara seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Komunikasi dan Multimedia akan digunakan.
Kata beliau, kerajaan hanya menyediakan garis panduan untuk membantu orang ramai memahami dengan mendalam ketiga-tiga akta tersebut.
Garis panduan berkenan, menurut beliau, akan dikemukakan kepada orang ramai menerusi program jelajah negara yang akan diadakan dalam waktu terdekat.
Pengumuman semalam menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pelbagai pihak, dengan kebanyakan mereka termasuk ahli-ahli politik menganggap tindakan sedemikian tidak perlu dan undang-undang sedia ada sudah memadai.-/themalaysianinsider