RAMAI penganalisis politik menyifatkan keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang mempunyai signifikan tertentu dalam episod terkini politik tanah air.
Ia menjadi penanda aras bagi BN mengukur kestabilan pengaruh di kawasan kebal yang dikuasainya khususnya negeri Johor. Di masa yang sama, Dun Tenang juga menguji kemampuan Pakatan Rakyat untuk menembusi kubu Umno dan BN yang telah berakar sejak lebih 50 tahun lalu. Satu lagi aspek penting yang patut dilihat adalah perubahan ' rupa dan pendekatan' parti-parti dominan Cina dalam meraih sokongan masyarakat Tionghua dalam suasana real politik yang ada. Aspek paling ketara dilihat sepanjang PRK Dun Tenang adalah perubahan pada rupa, wajah dan pendekatan MCA dalam memperdagangkan isu ketika berkempen. Di masa yang sama, komitmen tinggi yang ditunjukkan para pemimpin DAP dalam membantu calon PAS juga berjalan seiring dengan wajah dan pendekatan parti itu yang begitu kontradik dengan persepsi dan tanggapan majoriti masyarakat Melayu negara ini; khususnya yang mempunyai kecenderungan politik terhadap Umno dan BN. MCA yang dikenali sebagai parti kerabat BN yang moderat, moden dan toleran dengan realiti masyarakat majmuk di negara ini tiba-tiba muncul sebagai sebuah parti 'ekstremis sekular' yang tidak langsung mahu menghormati adab, tatasusila dan ajaran agama (dalam konteks ini Islam sebagai agama rasmi negara). Ini dapat dilihat daripada isu bersalam calon PAS dengan pengundi lelaki, usaha menakut-nakutkan kaum Tionghua dengan konsep negara Islam dan momokan terhadap hukum syariah khususnya hudud pada kelompok pengundi yang sama. Malah anak Presiden MCA yang mewarisi kerusi parlimen Labis daripada ayahnya, pergi lebih jauh dengan berbohong kononnya calon PAS, Normala Sudirman mempersoalkan tindakan seorang peniaga Cina yang menjual arak di kedai kopi yang diusahakannya. Chua Tee Yong @ Chua Jr bagaimanapun gagal memberikan sebarang bukti terhadap dakwaannya itu apabila dicabar PAS. Malah berdolak-dalih kepada media apabila diminta mendedahkan perkara sebenar. Tindakan Chua Jr ini dilihat tidak menggambarkan keberanian yang dimiliki ayahnya, Dr Chua Soi Lek yang mengaku sebagai lelaki yang dirakam melakukan hubungan seks dengan seorang wanita di sebuah hotel di Segamat. Keberanian Chua diiktiraf anggota MCA sehingga menobatkan beliau sekali lagi sebagai presiden parti setelah melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan ekoran skandal yang menjijikkan itu. Sebelum kontroversi dicetuskan Chua Jr, ayahnya sendiri Chua Soi Lek memulakan kempen serangan peribadi terhadap calon PAS apabila mempersoalkan tindakan Normala yang memakai sarung tangan apabila bersalaman dengan pengundi lelaki. "(Normala) memakai sarung tangan ketika berjabat tangan. Jika anda boleh menerima nilai Islam sebegini, undilah PAS," katanya.
Keceluparan Soi Lek ini disambut beberapa pemimpin utama MCA dan Gerakan seperti Naib Presiden MCA, Ng Yen Yen, Chua Jr, Fong Chan Onn dan Ketua Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe. Yen Yen dilaporkan berkata, "... mengapakah (Normala) membesar-besarkan isu berjabat tangan dengan pengundi lelaki?" Chua Jr dalam laman Twitternya menyebut, "Normala memakai sarung tangan dan pembantunya sedang berjabat tangan bagi pihaknya. Sudah pasti dia akan mendakwa faktor kesihatan atau pun sebab peribadi." Chan Onn menyindir melalui Twitter, "Apa akan berlaku jika (Normala) nampak seorang lelaki dilanggar kereta. Adakah dia akan membantu?" dan menambah, "Tidak bersalam adalah langkah pertama ke arah pengasingan jantina. Selepas itu lelaki dan perempuan tidak dibenarkan berada dalam dewan yang sama..." Lian Hoe pula berkata, "Bukan saja lelaki, tetapi dia juga memakai sarung tangan apabila berjabat tangan dengan perempuan. Ini tidak peramah, seolah-olah dia menganggap tangan kami ini kotor." Kenyataan-kenyataan tidak beradab pemimpin MCA dan Gerakan ini sebaliknya mendapat kecaman daripada para pemimpin DAP. Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok dalam kenyataan medianya 'mengutuk keras' tindakan pemimpin MCA dan Gerakan itu dan menyifatkan mereka sebagai 'ekstremis'. "Cemuhan pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan (terhadap Normala) membuktikan bahawa mereka tidak dapat menerima pengamalan agama yang berbeza daripada agama mereka sendiri. Mereka berkeras memaksa Normala untuk mengaibkan pegangan agamanya. Tindakan mereka seakan-akan memaksa seseorang 'vegetarian' untuk memakan daging. "Hakikatnya, pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan ini merupakan ekstremis tersendiri. Segala sokongan mereka terhadap konsep 1Malaysia merupakan wayang semata-mata demi memelihara kepentingan politik mereka." Menurut Teresa, sekiranya pemimpin MCA dan Gerakan benar-benar ikhlas mendokong konsep 1Malaysia, sudah pasti mereka memahami bahawa amalan agama adalah pilihan peribadi setiap orang dan tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur penghinaan. Sentimen Teresa dikongsi bersama seluruh pemimpin DAP. Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng ketika berceramah di Dun Tenang menyifatkan tindakan MCA memomok-momok masyarakat Tionghua dengan isu bersalaman, negara Islam dan hudud bertujuan menghalang mereka (masyarakat Tionghua) daripada memahami Islam. Pelbagai pihak khususnya badan NGO Islam mengecam kempen tidak beretika MCA ini. Umno yang pada mulanya berdiam diri terhadap tindakan menghina Islam para anggota kerabat BNnya akhirnya terpaksa 'memujuk' MCA supaya tidak lagi memainkan isu itu. Langkah itu dibuat setelah menyedari isu bersalaman calon PAS tidak mendatangkan kesan kepada pengundi Tionghua malah merugikan BN. Semangat setiakawan yang ditunjukkan DAP dalam pilihan raya kecil Tenang perlu dijadikan renungan para pengundi Melayu. Mereka sewajarnya mengetepikan sentimen dan kecurigaan terhadap DAP yang selama ini dimomokkan sebagai parti ekstremis Cina, anti-Melayu dan anti-Islam. Sentimen dan kecurigaan ini berjaya ditanam Umno sejak sekian lama sehingga sisi positif kehadiran DAP (sebagai sebuah parti pelbagai kaum dan agama) dalam politik negara tidak langsung dilihat. PRK Dun Tenang berjaya memperlihatkan kita real politik tanah air masa kini. Ia memperlihatkan transformasi MCA daripada sebuah parti kaum Cina yang dianggap moderat, moden dan toleran kepada sebuah parti perkauman yang ekstrem dan anti-Islam. Sebaliknya DAP yang selama ini dimomok-momokkan Umno sebagai parti chauvinis Cina, anti-Melayu dan anti-Islam berjaya menonjolkan imej yang moderat, mesra Islam dan reseptif dengan realiti kewujudan Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan agama. Sudah sampai masanya untuk rakyat Malaysia khususnya di Dun Tenang melakukan perubahan bagi masa depan negara dan generasi akan datang. HUAN!!! BERUBAH!!! |