Grab the widget  IWeb Gator

Friday, January 28, 2011

Kenyataan Media: Puncak Niaga dan Syabas Sengaja Melengahkan..

Kenyataan Media: Puncak Niaga dan Syabas Sengaja Melengahkan Pengambilalihan oleh Kerajaan Selangor 

Abdul Khalid IbrahimDokumen tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Selangor bagi pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air disediakan dengan terperinci dan mengandungi maklumat mencukupi untuk syarikat konsesi terbabit membuat keputusan.
Dokumen tawaran berkenaan disediakan secara  profesional dan memenuhi kehendak piawaian  antarabangsa, dengan memberi perhatian terhadap setiap terma bagi mengelak sebarang keraguan.


Kenyataan Puncak Niaga Holdings Bhd (Puncak Niaga) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd  (SYABAS ) bahawa syarikat tidak boleh membuat keputusan berhubung tawaran itu kerana dokumen tawaran yang dikemukakan Kerajaan Selangor tidak terperinci adalah kabur dan berniat jahat.

Kenyataan Pengarah Urusan Puncak Niaga, Datuk Hashim Mahfar itu hanyalah bertujuan melengah-lengahkan proses pengambilalihan oleh Kerajaan Selangor yang mahu memberi perkhidmatan dan pembekalan air yang lebih berkualiti kepada rakyat.

Kerajaan Selangor menekankan bahawa perkara ini boleh diselesaikan dengan baik jika kerajaan negeri dibekalkan maklumat-maklumat yang sepatutnya diberikan. Puncak Niaga dan SYABAS perlu faham bahawa tawaran bersyarat ini tertakluk kepada maklumat-maklumat yang telah diberikan kepada Kerajaan Selangor.

Nilai tawaran bagi pengambilalihan ini boleh dilakukan secara lebih adil dan munasabah yang diterima semua syarikat konsesi jika Puncak Niaga dan SYABAS memberikan maklumat yang diperlukan kepada Kerajaan Selangor. Dalam mana-mana pengambilalihan syarikat, ketelusan adalah menjadi kemestian bagi menjamin penyelesaian yang adil dan saksama.

Kerajaan Selangor mengulangi komitmen untuk mengambilalih syarikat konsesi air bertujuan membekalkan perkhidmatan air dengan kadar harga yang munasabah selaras dengan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor.”




TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular