KUALA LUMPUR, 29 Jan: PAS mendesak kerajaan mengkaji tindakan menarik semula pemberian subsidi tol sebanyak 50 peratus kepada pengusaha bas bermula 15 Januari lalu. Ketua Penerangannya, Idris Ahmad berkata, PAS membantah tindakan itu kerana ia akan menyebabkan pengusaha bas menaikkan tambang kepada pengguna.
Kenaikan tambang ini seterusnya akan menambahkan kesusahan rakyat yang sedia terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan asas. "Akibatnya pengusaha bas akan menaikkan tambang, ini akan membebankan rakyat bawahan yang memang sedia terbeban dengan kesempitan kewangan angkara rasuah, boros dan tidak berhemah oleh pemimpin BN. "PAS mendesak kerajaan mengkaji balik tindakan menarik semula diskaun tol kerana kepentingan rakyat berpendapatan rendah. Rakyat baru sahaja menerima bahana kenaikan tambang bas sebanyak 30 peratus kerana kenaikan harga minyak. Berapa peratus pula rakyat perlu bayar tambang dengan penarikan diskaun tol nanti?" soalnya. Menurut Idris juga, PAS tidak mahu isu kenaikan tambang bas dijadikan alasan oleh kerajaan untuk menyalahkan pengusaha bas sedangkan mereka yang bersalah. "Padahal mereka terpaksa berbuat demikian kerana kos meningkat. PAS yakin kerajaan terpaksa menarik balik diskaun tol kerana kerajaan sudah tidak ada wang, cuma berlagak macam orang kaya," katanya. Kerajaan menarik balik potongan kadar tol sebanyak 50 peratus itu yang mula diberikan kepada pengusaha bas sejak 15 September 2008 sebagai usaha membantu mereka yang terjejas berikutan peningkatan bahan api di pasaran ketika itu. Insentif itu juga bagi mengelakkan pengusaha bas menaikkan kadar tambang sehingga menjejaskan pengguna pengangkutan awam itu, terutama bagi perjalanan jarak jauh yang kadar tolnya agak tinggi. |