LABIS, 29 Jan: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa Umno kini terpaksa defensif berdepan kempen Pakatan Rakyat pada PRK Dun Tenang sehingga terpaksa membuat serangan peribadi terhadap calon PAS, Normala Sudirman. Katanya, kerana tersepit dengan serangan Pakatan Rakyat, Umno terpaksa membangkitkan isu rumahtangga terdahulu Normala dan menyerang suami calon, Maarof Abd Mutalib berhubung isu cuti sakit.
"Saya fikir ini sejarah lah. Ini menggambarkan ketidaktamadunan pemikiran Umno BN. "Kita tidak sentuh pun soal isteri calon BN, sebab yang bertanding dia, bukan isteri dia," katanya pada sidang media PAS hari ini. Mengulas isu serangan perkahwinan dahulu Normala, Mahfuz berkata ianya satu perbuatan melampau kerana boleh mengaibkan keluarga yang terlibat. "Saya sebut kepada kawan-kawan jangan bangkit isu Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor) bercerai dengan bekas suami dia, isu Najib (Datuk Seri Najib Razak) bercerai dengan bekas isteri dia, kemudian mereka berkahwin bersama. "Saya kata jangan sebut, itu tidak baik, itu satu perkara peribadi," katanya. Dalam kempen di Tenang kali ini, Mahfuz mendakwa Umno secara gelap membangkitkan soal perkahwinan terdahulu Normala. Beberapa kain rentang turut dipasang berhubung perkara itu yang mempersoal siapa Maarof. "Termasuk juga isu Chua Soi Lek berkenaan kes dia, VCD dia sebab yang akan malu bukan sahaja dia, anak dia, isteri dia dan keluarga dia," tambah Mahfuz lagi. Menyentuh isu cuti sakit Makrof yang dimainkan Umno pula, Mahfuz berkata Umno sebenarnya hilang punca setelah gagal menyerang peribadi calon PAS. "Pemimpin Umno, tak dapat calon suami calon jadi mangsa. "Banyak program yang dihadiri oleh cikgu-cikgu termasuk perhimpunan agung Umno yang yang difahamkan berpakat dengan cikgu besar untuk ambik cuti, ini juga mesti disiasat," katanya. |