Grab the widget  IWeb Gator

Sunday, July 31, 2011

Dewan Bahasa Dan Pustaka Kini Ditimpa Mala-Petaka. Mana Muhyiddin??


Syarikat konsesi mencetak dan mengedar bahan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dawama Sdn Bhd telah mengarahkan kesemua pekerjanya, dianggarkan lebih 400 orang, mengambil cuti tanpa gaji bermula esok ekoran masalah kewangan dihadapinya.

Notis itu yang menggariskan pertikaian dengan DBP sebagai alasan, agensi terletak di bawah Kementerian Pelajaran, sebagai punca kepada tindakan tersebut.

Dawama dilaporkan berhadapan dengan masalah kewangan rumit.

The Malaysian Insider menghubungi Dawama beberapa kali, tetapi tiada respons daripada pengurusan mengenai perkembangan terbaru ini.

Tindakan mengejutkan pekerja ini diambil ketika umat Islam memasuki bulan Ramadan, dijangka esok. 

Majoriti pekerja Dawama beragama Islam.

Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja Dawama Sdn Bhd Zainal Awit berkata, pihaknya menerima notis berkenaan Khamis lalu mengatakan semua pekerja perlu bercuti tanpa gaji sehingga pertikaian dengan DBP selesai.

“Bila pertikaian itu akan selesai, bila kami boleh balik bekerja, kami tidak tahu... tetapi kami diminta mengambil cuti tanpa gaji, bermakna tiada gaji, tiada tarikh bila ia akan berakhir,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Zainal berkata, mengikut notis yang dikeluarkan kepada kesemua pekerja, Dawama mengatakan bahawa pihaknya sedang berhadapan dengan pertikaian ekoran keingkaran DBP mematuhi konsesi yang dimeterai satu dekad lalu.

“Sehingga pertikaian ini diremedikan, kami diminta mengambil cuti tanpa gaji... sampai bila? 

Esok, lusa sudah mula bulan Ramadan, kemudian Hari Raya Aidilfitri,” kata beliau yang turut terkejut bagaimana majikannya boleh berhadapan dengan masalah kewangan sedangkan “maklumat kami menunjukkan syarikat sepatutnya membuat keuntungan sehingga RM60 juta setiap tahun.”

“Dawama mencetak dan mengedarkan buku teks, buku dan majalah, di mana ia sepatutnya tidak rugi. 

Tetapi kami difahamkan ia berhadapan dengan masalah termasuk tidak mampu membeli kertas,” kata beliau yang mengakui pernah mengadu isu itu kepada Kementerian Pelajaran.

“Tetapi, disebabkan tindakan itu, saya telah digantung tugas selama 14 hari dan apabila saya mula balik untuk bekerja Khamis lalu, kami terima notis ini,” katanya lagi.

Esok, kesemua pekerja Dawama akan berkumpul pdi pekarangan ibu pejabat Dawama di Hulu Klang untuk membuat pendirian dan tindakan susulan mereka.

The Malaysian Insider membawa laporan pada 27 Jun lalu, DBP dan Dawama berhadapan dengan ‘perang dingin’ — dipercayai meruncing bulan lalu di sebalik isu kemerosotan penjualan dan cetakan buku dan majalah terbitan agensi itu sejak beberapa tahun lepas.

The Malaysian Insider juga difahamkan pengurusan kedua-dua entiti itu kini memasuki satu persekitaran yang sangat parah dengan dikatakan tidak dapat bersemuka dalam menyelesaikan isu mereka, sekali gus meletakkan DBP dalam keadaan serba salah.

Sumber itu juga berkata, hubungan tidak mesra itu wujud selepas DBP memutuskan untuk melantik pihak ketiga bagi mencetak buku-buku teks agar ia dapat dibekalkan kepada sekolah menjelang Ogos.

Malah difahamkan ‘perang dingin’ DBP dan Dawama meruncing sehingga ke tahap menutup ‘pintu’ kepada pengurusan agensi itu ekoran selepas kata dua Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Abdul Aziz baru-baru ini — yang memberi satu tempoh kepada Dawama agar melakukan penambahbaikan dalam mengatasi masalah kemerosotan penjualan dan cetakan buku dan majalah terbitan sejak beberapa tahun lepas.

Dawama diberi tanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002 dan sejak itu berlaku kemerosotan yang agak ketara daripada segi cetakan dan jualan.

Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.

Dua minggu lalu, Termuzi memberi jaminan buku teks akan tetap sampai di sekolah sebelum sesi persekolahan 2012 bermula.

Kini, DBP sedang menggunakan khidmat pihak ketiga untuk mencetak buku-buku teks dan 10 majalahnya termasuk edisi bulan Julai yang tidak dapat dicetak dan diedarkan awal bulan ini. - jalanpulang



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular