
Igauan bagaimana perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007 mencetuskan tsunami politik pada 8 Mac 2008 masih menghantui Barisan Nasional.
Seandainya PRU ke-13 diadakan pada tahun ini, Najib berkemungkinan besar mengulangi nasib mantan PM, Abdullah Ahmad Badawi.
Lebih-lebih lagi, cara dan pendekatan kerajaan Najib Razak mengendalikan perhimpunan BERSIH 2.0 telah mencungkil ketidakpuasan ramai, dari Sasterawan Negara yang menjadi ikon budaya, hinggalah bekas mufti yang berpengaruh dalam bidang agama; dari mereka yang berada di atas pagar, hinggalah pewaris tokoh UMNO sendiri - Marina Mahathir.
Mengikut perhitungan biasa, kerajaan Najib dijangka memerlukan tempoh dalam setahun untuk memperbaiki keadaaan, atau sekurang-kurangnya meredakan ketidakpuasan ini. Dengan kata lain, PRU 13 paling mungkin diadakan pada tahun 2012 selepas Jun, malah tidak mustahil diheret sehingga awal tahun 2013.
Semakin lama PRU ditunda....
Namun demikian, perkiraan UMNO mungkin tidak mengikut logik biasa. Semakin lama PRU ke-13 ditunda, bermakna semakin berat bebannya. Pertama, UMNO-BN tidak mempunyai alasan untuk menundakan reformasi sistem pilihan raya. Perlu diingatkan bagaimana impak "BERSIH 1.0" memuncak apabila SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal empat hari sebelum hari pengundian PRU 12. Kerajaan Najib sama ada kehilangan undi berikutan "ketidaksempatan" melakukan reformasi sistem pilihan raya, ataupun tumbang kerana sistem pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.

Dari segi politiknya pula, seandainya PRU 13 dijalankan pada 2012 mahupun 2013, pengundi Sarawak akan tertanya-tanya, bilakah Ketua Menteri Taib Mahmud bersara? Meskipun menang dalam pertarungan sengit PRN Sarawak pada April 2011, namun BN sedar bahawa angin perubahan semakin kencang. Seandainya Taib Mahmud dikekalkan, maka ia menghulurkan senjata kepada Pakatan Rakyat untuk menyerang dirinya. Sebaliknya, jikalau Taib Mahmud digugurkan, maka pertentangan kepentingan akan berlaku, antara Taib Mahmud (gambar bawah) yang sudah 30 tahun berkuasa di bumi kenyalang, dengan kepentingan kerajaan persekutuan.
Kegagalan Najib menarik sokongan
Najib bermula dari mana Abdullah Ahmad Badawi terjatuh. Jelas, slogan 1Malaysia-nya menyasarkan pengundi yang berada di "pertengahan", yang mual dengan politik perkauman. Sementara itu, Program Transformasi Ekonomi (ETP)-nya pula menyasarkan pengundi bandar, yang menaruh harapan agar sistem dan struktur ekonomi diperbetulkan. Golongan ini tidak menunjukkan kecenderungan politik parti yang tegar, mereka dijangka kembali ke pangkuan BN seandainya kehidupan harian dan keadaan negara diperbaiki.

Najib semakin tersepit. Bukan sahaja golongan yang berada di "tengah-tengah" ini dikecewakan, malah ikon-ikon tertentu yang berpengaruh turut mengasingkan diri dari regim ini, bahkan melontarkan kritikan terhadapnya. Ikon budaya, Sasterawan Negara A.Samad Said dalam wawancara bersama Malaysiakini terus mengecam bahawa "Najib memang kejam". Perlu diingatkan bahawa A.Samad Said (gambar bawah) disokong sekumpulan seniman apabila polis menyoal-siasat beliau di bawah Akta Hasutan.

Pendekatan Najib mengendali BERSIH 2.0 seolah-olah menggali kubur untuk dirinya. Titik pusingannya berlaku apabila Najib berdolak-dalik dalam isu "stadium", yang menyebabkan ramai beralih untuk bersimpati terhadap BERSIH 2.0. Dan apabila gas pemedih mata dilepaskan bertalu-talu ke dalam lautan manusia yang merangkumi warga emas, budak kecil... yang melangkaui batas kaum dan agama, imej Najib ranap dalam sekelip mata.
Pergelutan dalam UMNO
Kini Najib berdepan dengan tekanan dalam partinya. Dari perkiraan sesetengah pemimpin UMNO, BN tetap mampu mempertahankan kerajaan persekutuan pada PRU 13, meskipun mungkin gagal mengembalikan majoriti dua pertiga, dan beberapa kerajaan negeri, malah mungkin kehilangan Negeri Sembilan!

Pertama, gagal mengembalikan majoriti dua pertiga dalam parlimen;
Kedua, gagal mengembalikan kuasa beberapa kerajaan negeri, misalnya Selangor.
Ketiga, gagal meraih sokongan bukan Melayu.
Dari kaca mata sesetengah pimpinan UMNO, UMNO-BN akan hilang kuasa jikalau semakin lama PRU 13 ditunda. Maka tidak mustahil seandainya Najib didesak untuk mengadakan PRU 13 pada Oktober tahun ini.
Sama ada PRU 13 diadakan pada tahun ini mahupun tahun 2012, malah 2013, Najib perlu bersedia untuk menyusuri jejak Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah gagal apabila menghampakan pengundi yang mahu melihat perubahan yang dijanjikannya. Nasib yang sama akan menimpa Najib. Cuma, nasib Najib mungkin lebih malang daripada Abdullah, kerana beliau mempunyai kes Scorpene yang bakal berlangsung perbicaraannya di Perancis!