Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, August 2, 2011

PKFZ : Penilaian Tanah Kuala Dimensi RM12 (Sekaki Persegi) Lebih Mahal


KUALA LUMPUR 2 OGOS : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberitahu bahawa wakil Kuala Demensi Sdn. Berhad (KDSB) membuat penilaian harga tanah yang lebih tinggi berbanding penilaiannya dalam kes perbicaraan penyelewengan melibatkan bekas Menteri Pengangkutan, Dr Ling Liong Sik.

Seorang saksi yang merupakan bekas Penolong Pengarah Penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan, (JPPH) Teo Lee Lee berkata, KDSB menerusi Azmi & Company menetapkan RM29 sekaki persegi (skp) bagi 830 ekar (335.32 hektar) tanah di Mukim Klang.

Teo berkata, menurut penilaiannya, bagi tanah yang mempunyai akses asas seperti jalan dan infrastruktur, nilainya adalah RM17 skp dan RM13.50 skp bagi yang tidak mempunyai akses asas.

“Saya pernah pergi ke kawasan ini, yang ditambun 500 ekar sahaja, bakinya adalah tanah paya,” katanya yang kini telah bersara.

Teo merupakan saksi pendakwaan pertama dalam perbicaraan kes Dr. Ling yang dituduh menipu Kerajaan Malaysia dengan secara sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu bahawa JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 skp telah pun mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua tuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 skp telahpun mengambil kira kadar kupon/faedah. Berhubung nilai yang ditetapkan (RM17 skp), Teo berkata beliau membuat keputusan itu setelah membandingkan kadar nilai tanah di kawasan berdekatan, seperti Central Spectrum (M) Sdn. Bhd. yang memajukan perindustrian di Pulau Indah.

Katanya, penilaian itu adalah penilaian kedua yang dilakukannya di kawasan yang sama cuma berlaku pertambahan jumlah keluasan tanah iaitu daripada 400 kepada 830 ekar.

Bagi penilaian pertama iaitu pada 5 Dis 1998, Teo berkata, beliau masih menetapkan pada kadar RM17 skp dan mengekalnya bagi kali kedua iaitu pada April 2000.

Teo berkata, nilai yang dicadangkannya turut mengambil kira pasaran harta pada tahun 1998 yang lembab disebabkan kegawatan ekonomi di negara dan di rantau Asia Tenggara yang telah menjejaskan pelaburan dan permintaan hartanah industri dan perniagaan.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah JPPH Shah Alam, Datuk Sahari Mahadi memberitahu bahawa beliau diarahkan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk membuat penilaian kadar tanah bagi tanah seluas 830 ekar di Pulau Indah.

Sahari yang merupakan saksi kedua pendakwaan berkata, mengikut penilaian kadar tanah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) itu, harga bagi sekaki persegi tanah itu ialah RM18.

“Harga asal bagi nilai tanah adalah RM18 sekaki persegi, bagaimanapun ia dinaikkan kepada RM21 sekaki persegi berdasarkan penilaian nilai-nilai khas,” katanya Sahari berkata harga RM21 satu kaki persegi itu turut dipersetujui oleh pembeli iaitu KDSB.

Beliau turut menjelaskan bahawa harga RM21 sekaki persegi adalah bagi pembayaran yang dibuat secara tunai manakala harga RM25 sekaki persegi adalah harga untuk pembayaran yang dibuat secara tunggakan.

“Berdasarkan jadual pembayaran, harga RM21 sekaki persegi akan dibuat secara tunai manakala harga RM25 sekaki persegi jika ia dibayar secara tunggakan,“katanya.- wrlr.blogspot.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular