KUALA LUMPUR, 6 April — Datin Seri Shahnaz Abdul Majid, menantu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memohon di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini supaya mengeluarkan waran tangkap ke atas suaminya Datuk Seri Mahmud Abu Bekir yang gagal hadirkan diri dalam kes tuntutan fasakh.
Peguam utamanya Dr Mohd Rafie Mohd Shafie berkata, Mahmud Abu Bekir, 48, telah tidak hadir di mahkamah rendah sebanyak dua kali sebelum ini.
Shahnaz, 48, telah memfailkan tuntutan fasakh pada 22 Februari lalu dengan mendakwa defendan gagal menjalankan tugas sebagai suami dan tidak memberikan nafkah batin sejak 2001.
Dalam tuntutan itu, Shahnaz yang merupakan kakak kepada penyanyi Datuk Sheila Majid, mendakwa defendan melakukan penderaan secara fizikal dan mental dengan menumbuknya di bahagian muka, kepala dan mata sehingga lebam, selain turut menendang rusuk dan mencekiknya.
Shahnaz mendakwa suaminya suka memaki hamun menyebabkan dirinya tertekan, aib dan mengalami gangguan emosi.
Dia turut mengemukakan tuntutan mutaah RM300 juta dan harta sepencarian bernilai RM100 juta terhadap ahli perniagaan itu.
Bulan lalu, Hakim Syarie Mohd Amirul Adam Ahmad menetapkan 11 April ini untuk sebutan semula kes selepas peguam syarie Saadiah Din, yang mewakili Mahmud Abu Bekir, memaklumkan bahawa anak guamnya itu telah memfailkan permohonan penceraian pada 14 Februari lalu.
Beliau berkata kes itu telah disebut pada 3 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam selepas dikatakan berlaku ketidaksefahaman antara pasangan itu dan akan disebut semula pada 11 April ini.
“Permohonan anak guam saya iaitu penceraian telah difailkan terlebih dahulu berbanding permohonan tuntutan fasakh oleh pihak plaintif,” katanya.
Malah bulan lalu, Saadiah memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya itu tidak dapat hadir ke mahkamah kerana menghadapi masalah kesihatan dan sedang menjalani rawatan.
Rafie, yang mewakili Shahnaz dalam prosiding itu berkata, pihaknya memohon agar kes penceraian dan tuntutan fasakh itu disatukan kerana ia melibatkan isu yang sama.
Bagaimanapun Mohd Amirul Adam berkata mahkamah tidak dapat menerima permohonan itu kerana beliau tiada kuasa untuk berbuat demikian.
Mohd Amirul Adam juga berkata perbicaraan kes fasakh itu mengambil masa panjang sehingga setahun dan juga boleh lebih dari itu.
Beliau berkata mahkamah memberi tarikh yang sama dengan kedua-dua kes ini dan akan melihat terlebih dahulu kes penceraian, di mana sekiranya ada penyelesaian, maka kes tuntutan fasakh di mahkamah di sini selesai.