Grab the widget  IWeb Gator

Saturday, April 9, 2011

16 Termasuk Anggota Keluarga Ahmad Sarbani Beri Keterangan


KUALA LUMPUR, 9 April - Polis sudah mengambil keterangan daripada 16 orang termasuk anggota keluarga Ahmad Sarbani Mohamed sehingga semalam bagi membantu siasatan kematian penolong pengarah Kastam Selangor itu pada Rabu lepas.


Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah bagaimanapun enggan mendedahkan siapa dan berapa ramai anggota keluarga Ahmad Sarbani yang diambil keterangan.

“Polis akan mengambil lagi keterangan dari individu berkaitan jika siasatanyang dilakukan memerlukan lagi maklumat,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Dialog Sempena Kempen Kesedaran Pencegahan Jenayah di Pusat Beli-Belah Wangsa Walk anjuran MSL Properties di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) TanSri Lee Lam Thye yang juga Pengerusi MSL.

Dalam kejadian itu, Ahmad Sarbani, 56, ditemui mati dengan kecederaan di kepala di gelanggang badminton di tingkat 1, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini.

Ketika diminta mengulas tentang rakaman litar tertutup (CCTV) yang diperolehi polis dari tempat kejadian itu, Zulkifli berkata polis masih menganalisisnya.

“Polis tidak boleh buat keputusan tergesa-gesa kerana ini kes yang ingin diketahui oleh orang ramai,” katanya.

Terdahulu dalam sesi dialog itu, orang ramai memohon Polis Kuala Lumpur supaya mewujudkan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju berikutan bilangan penduduk yang semakin ramai di kawasan itu.

Selain itu, mereka juga meminta polis memasang lebih banyak CCTV di kawasan Sentul, Keramat dan Wangsa Maju kerana banyak kes ragut dikatakan berlaku di kawasan berkenaan.

Zulkifli berkata Polis Kuala Lumpur memang merancang menubuhkan IPD Wangsa Maju tahun ini kerana penduduknya yang kini seramai 350,000 orang dan bersedia menambah CCTV di kawasan berkenaan.
BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular