Polis jelas telah menghina Perlembagaan Negara apabila berterusan mengganggu dan menghentikan ceramah-ceramah anjuran Pakatan Rakyat (PR), kata Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Yap Heng Lung.
Menurut beliau, tindakan polis menghentikan ucapan para pimpinan PR terutamanya Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kempen pilihan raya jelas melanggari hak asasi manusia.
“Suaram mengkritik polis kerana mencabuli hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya dalam Artikel 10 yang berkaitan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan,” kata kenyataan media tersebut.
Semalam, polis mengganggu ceramah yang dihadiri Ketua Pembangkang itu di Betong dengan bertindak menghentikan ucapan beliau .
Ia adalah kali ketiga berturut-turut polis bertindak demikian. Sebelum ini Anwar turut dihalang berucap di kawasan DUN Semariang dan Satok.
Suaram dalam kenyataannya mendakwa tindakan polis yang semakin teruk, terbukti bermotifkan politik, kerana takut keburukan Barisan Nasional (BN) didedah kepada rakyat marhaen.
Oleh itu, Suaram menggesa polis menghentikan segala gangguan terhadap Pakatan Rakyat termasuk Anwar berasaskan peruntukan perlembagaan.
“Kami yakin bahawa sekatan-sekatan ke atas PR yang terkandung dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia (1948) itu bermotifkan politik. Ia adalah usaha menghalang PR dari mendedahkan keburukan Barisan Nasional (BN),” kata kenyataan media itu lagi.
Tambah kenyataan media itu lagi, ketidakcekapan polis menguruskan hal ehwal berkenaan permit perhimpunan awam telahpun didedahkan Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada 2005.
“Ketidakcekapan mereka adalah kelemahan mematuhi piawaian hak asasi manusia, dan ia semakin berleluasa khususnya menjelang Pilihan Raya Kecil di Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan tidak lama lagi,” kata kenyataan itu lagi
Selain itu, Suaram juga akan berterusan mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) dan menuntut penggubalan Akta Polis Seksyen 27, yang kerap disalahgunakan polis untuk kepentingan politik BN.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=10586