Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, April 6, 2011

Mungkinkah Bernama Tersilap Lapor Kenyataan PM?


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Koh Tsu Koon telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan apabila mengatakan bahawa Perdana Menteri Najib Razak tidak pernah melahirkan berasa yakin bahawa BN akan menakluk semula Pulau Pinang.

Sebaliknya kata Koh kemungkinan besar wartawan Bernama itu terlalu bersemangat atau ghairah ketika membuat laporan berkaitan Najib yang sebenarnya mengatakan jika sambutan hangat itu diterjemahkan sebagai undi dalam pilihan raya, BN mungkin berpeluang memenangi beberapa kerusi.

Sukar untuk saya mempercayai bahawa agensi berita kebangsaan seperti Bernama berani melaporkan fakta yang salah berkaitan Perdana Menteri walau seghairah atau bersemangat manapun wartawan tersebut. Sebagai agensi berita kebangsaan, Bernama sepatutnya mempunyai kelebihan yang tidak terdapat pada lain-lain media.

Masyarakat tidak akan pernah percaya bahawa media seperti Bernama berani melaporkan perkara yang salah tentang kenyataan Perdana Menteri melainkan wartawan tersebut dipecat atas perlakuan yang tidak professional dan tidak berkemampuan. Kegagalan mengambil tindakan ke atas Bernama membuktikan BN melaksanakan kempen "smoke and mirrors" untuk menawan semula Pulau Pinang dengan menyembunyikan strategi sebenar BN secara diam-diam dan berdolak dalik bagi mengelirukan Pakatan Rakyat.

Atas alasan itu, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak akan sekali-kali goyah, bingung mahupun tersasar daripada fokus utama kerajaan negeri untuk mengamalkan pemerintahan yang baik dan berkhidmat kepada rakyat Pulau Pinang. Semua pemimpin Pakatan Rakyat yang terpilih telah diarah untuk memperbaiki prestasi dengan menggandakan usaha dalam melaksanakan tugas pemerintahan yang berjiwa rakyat dengan penuh perikemanusiaan dengan mendengar keluhan rakyat, urus tadbir yang baik kepada rakyat serta memberi harapan kepada rakyat.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang berasa kesal dengan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang telah memberikan maklumat palsu kepada Perdana Menteri kononnya Pulau Pinang telah mengalami kejatuhan di bawah pemerintahan PR. Semenjak pilihanraya 8 Mac 2008 yang membawa kepada Kerajaan Pakatan Rakyat, Pulau Pinang telah berubah menjadi lebih baik. Di antara 12 kejayaan yang jelas disokong dengan fakta serta maklumat yang benar bahawa Pulau Pinang menerajui tempat pertama di Malaysia ialah:

1. Jumlah pelaburan tertinggi di Malaysia dan dalam sejarah negeri sebanyak RM12,2 juta atau 26% daripada jumlah keseluruhan pelaburan negara. Pengedaran FDI Pulau Pinang lebih tinggi iaitu sebanyak 36% berbanding FDI Malaysia walaupun hanya mempunyai 6% jumlah populasi Malaysia.
2.
Dipuji oleh Ketua Audit Negara sebagai negeri yang mengamalkan pengurusan kewangan terbaikbagi tahun 2008 dan 2009.

3. Pengurangan Indeks Jenayah tertinggi di Malaysia sebanyak 27% .

4. Negeri pertama untuk inisiatif hijau yang menuju ke arah Pulau Pinang sebagai Negeri Hijau pertama di Malaysia.

5. Satu-satunya negeri yang dipuji oleh "Transparency International" dalam memerangi rasuah melalui proses tender terbuka dan prinsip CAT - Cekap, Akauntabiliti dan Telus.

6. Penyumbang tertinggi untuk pendapatan daripada pelancongan perubatan iaitu sebanyak 60%.

7. Negeri pertama membasmi miskin tegar dengan memastikan setiap keluarga memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM500 sebulan dan membayar RM100 setiap tahun kepada warga emas berusia lebih 60 tahun.

8. Pulau Pinang mencatatkan peningkatan tertinggi jumlah penumpang udara berbanding semua lapangan terbang di Malaysia sebanyak 30%.

9. Mencatat kadar terendah penggangguran dan bergerak aktif dalam mencari tenaga kerja mahir.

10. Menjaminkan kebebasan dan hak asasi manusia dengan Akta Kebebasan Maklumat dan mewujudkan Sudut Pidato pertama di Malaysia yang membenarkan kebebasan berucap.

11. Paling cergas dalam melindungi, memulihara dan mempromosikan warisan melalui Bandaraya Warisan Dunia Unesco George Town.

12. Bandaraya yang paling baik didiami di Malaysia.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang pada 4 April 2011.
Koh: Najib tidak pandang ringan Pulau Pinang
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak meluahkan keyakinannya bahawa BN akan merampas semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang, kata presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Menjelaskan kenyataan Najib semasa lawatan seharinya yang menggempurkan pulau mutiara itu, semalam, Koh berkata perdana menteri tidak mengeluarkan kata-kata seperti yang dilaporkan itu.

“PM amat berhati-hati dengan apa yang dikatakannya. Beliau berkata dia melawat lima kawasan (dan) orang ramai memberikan sambutan hangat. Jika sambutan hangat itu diterjemahkan sebagai undi dalam pilihan raya, BN mungkin berpeluang merampas beberapa kerusi.

“Tetapi beliau tidak sebut menawan negeri ini kerana perkara itu memerlukan penilaian lanjut. Mungkin Bernama salah melaporkan (kenyataan perdana menteri), kata Koh kepada wartawan semasa pelancaran sebuah buku di Kuala Lumpur hari ini.

Koh, ketika diminta mengulas kenyataan itu semalam, pada mulanya menyalahkan Malaysiakini kerana salah menterjemahkan kenyataan perdana menteri.

Bagaimanapun, beliau dimaklumakan bahawa berita berkenaan dibekalkan oleh agensi berita rasmi kerajaan iaitu Bernama.

Bernama semalam melaporkan Najib yakin BN dapat merampas semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang ekoran terdapat tanda-tanda angin perubahan yang berlaku di negeri itu.

Katanya dalam tinjauan beliau ke Pulau Pinang hari ini banyak pihak meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan semasa, dan mereka mahukan perubahan.

"Suasana memihak kepada perasaan inginkan perubahan dan walaupun ia di peringkat sentimen, kita mahukan sentimen itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan," kata Najib yang dipetik Bernama.

Koh berkata kemungkinan besar wartawan Bernama itu terlalu bersemangat atau ghairah dalam laporannya.

Menurutnya, ketika mengiringi Najib dalam lawatan semalam, beliau menerima SMS daripada akhbar lain dan ditunjukkannya kepada Najib yang kemudian menafikan perkara itu.

Ditanya sama ada Gerakan mempunyai rancangan menawan Pulau Pinang, bekas ketua menteri negeri itu berkata mereka tidak akan mengumumkannya.

“Terlalu awal bagi membincangkan rancangan menawan Pulau Pinang,” kata Koh.

“Jika kita bercakap mengenai menawan semula Pulau Pinang sekarang sedangkan kita belum memenangi sebarang kerusi, kita nampak semacam bongkak,” katanya. -mk
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular