Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, April 5, 2011

Kerajaan Pusat umpama upah beruk naik (pokok) nyiur.

Kecoh isu berok
ALOR SETAR - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) gamat seketika apabila Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Pas-Sungai Limau) menggunakan perkataan beruk untuk menggambarkan keadaan yang ditanggung Kerajaan Negeri gara-gara tindakan Kerajaan Pusat melakukan Ops Piramid untuk membawa pulang pelajar Malaysia dari Mesir berikutan kekecohan yang berlaku di sana beberapa bulan lalu.

Beliau bangun untuk menambah selepas soalan mengenai kos ditanggung Kerajaan Negeri untuk menghantar pulang semula pelajar ke Mesir dijawab oleh Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi (Pas-Tokai), Datuk Mohamed Taulan Rasul. 

Azizan berkata akibat tindakan Kerajaan Pusat yang hanya membiayai kos membawa pulang pelajar ke tanah air dan menyerahkan kepada Kerajaan Negeri untuk menanggung kos penghantaran balik ke Mesir, ia terpaksa membelanjakan hampir RM2 juta. 

“Itulah Kerajaan Pusat umpama upah beruk naik (pokok) nyiur. Dia hanya tanggung upah panjat pokok nyiur dan upah turun tak mahu bayar,” katanya sambil disambut gelak ketawa oleh semua dalam dewan.

ADUN BN Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Mad Hanipah bangun sambil meminta Azizan menarik balik perkataan itu yang dianggap kasar. 

Azizan kemudian berkata: “kera, kera”. Namun kata-katanya itu masih tidak memuaskan hati Bashah yang terus meminta agar ia ditarik balik kerana dianggap menghina Kerajaan Pusat. Setelah tidak diendahkan, Bashah bangun walaupun ditegah Speaker, Datuk Dr Abd Isa Ismail sambil berkata Kerajaan Negeri pun tiada bezanya kerana tidak melakukan apa-apa selama tiga tahun memegang tampuk pemerintahan di Kedah. 

“Tiada bezanya pun. Kerajaan negeri sekarang ini macam kera dapat bunga. Ada bunga tetapi tak tahu nak buat apa-apa pun,” katanya. 

Bercakap kepada media di luar dewan, Bashah kesal dengan sikap Azizan yang menggunakan perkataan seumpama itu di dalam dewan. 

“Sebagai pemimpin nombor satu negeri, beliau tidak sepatutnya menggunakan perkataan seperti itu. Masih ada banyak perkataan yang lebih enak didengar,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau turut mengulangi gelarannya kepada Kerajaan Negeri iaitu seperti kera dapat bunga. 

“Selama ni, apa depa (Kerajaan Negeri) buat. Tak ada apa-apa pun. Hanya mengeluarkan perkataan politik dan retorik untuk menyedapkan telinga rakyat. Macam kera dapat bunga. Tak tahu nak buat apa. Akhirnya bunga itu dicarik-carik macam tu sahaja,” katanya. SH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular