Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, April 5, 2011

Seks, etika dan berita


vSeks, seperti yang kita semua sedia maklum, adalah sesuatu yang menarik perhatian dan minat orang ramai kerana ianya menjanjikan "keseronokan" dan melayani kehendak ingin tahu (atau, dalam bahasa nakal, "kepo").


Dan minat khalayak ramai ini memuncak bila seks - lebih-lebih lagi jika aktiviti insani ini dilakukan di luar nikah - dikaitkan dengan orang ternama dan selebriti.

Itulah sebabnya seks menjadi salah satu kriteria yang digunakan oleh pemberita untuk mengenalpasti insiden atau isu yang boleh dijadikan berita. Malah dalam keadaan di mana terdapat persaingan sengit antara organisasi media yang berpaksikan falsafah ekonomi kapitalis, seks telah dijadikan satu komoditi untuk diperdagangkan di dada akhbar khususnya, antara media lain, dalam usaha melonjakkan sirkulasi dan kadar periklanan akhbar berkenaan.

Bukan itu sahaja, sensasi seks juga boleh menjadi mainan politik. Dan ini juga bermakna media boleh, dan telah, menjadi alat manipulasi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan, khususnya parti yang memerintah (yang ada kaitan rapat dengan media arus perdana dari segi pemilikan dan kawalan). Ini terbukti lebih-lebih lagi dalam kes liwat pertama yang melibatkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Dan dalam masyarakat yang dikatakan berpegang kuat kepada ajaran agama seperti Malaysia, seks rambang, "songsang" dan luar nikah menjadi kebimbangan dan juga cemuhan orang ramai. Dan pelaporan media tentang kegiatan seks sedemikian rupa sudah tentunya meningkatkan lagi minat, kemarahan serta cemuhan umum itu.

Elak dipergunakan
Inilah konteks sosial yang luas yang harus kita ambil kira apabila kita memperkatakan perihal video seks yang didedahkan baru-baru ini oleh kumpulan trio yang menamakan dirinya "Datuk T". (Akhirnya kita ketahui siapa mereka yang cuba sembunyi di belakang tabir yang bernama "Datuk T" itu.)
"Dedahan" ini dianggarkan bukan sahaja dapat menarik perhatian dan minat umum, malah bertujuan "menggegarkan" dunia politik tanah air serta mengundang cemuhan dan kemarahan orang ramai - ketika masyarakat sedang menyaksi ulangan kes rasuah dan pilihanraya negeri Sarawak, antara lain isu yang penting.

Dan dalam masa yang sama, watak-watak yang berkaitan dengan kegiatan seks dalam video itu juga dianggarkan mengundang kebimbangan dan kemarahan orang ramai. 

Bersandarkan latar belakang sosial dan politik negara kita ini, wartawan yang melaporkan hal video seks ini sepatutnya secara prinsip bersikap berhati-hati dan akur kepada kod profesionalisme kerjaya wartawan yang sedia ada supaya dapat bersikap adil dan saksama dalam pemberitaannya - dan tidak terjerumus dalam kancah politik fitnah dan keji.

Panduan profesion ini adalah bertujuan untuk mengelakkan diri wartawan dari dipergunakan oleh pihak tertentu untuk agenda sempit mereka dengan semata-mata melaporkan apa yang diingini oleh pihak "Datuk T" itu tanpa wartawan menimbulkan persoalan mendalam dan kritis yang boleh menjawab kekeliruan dan kemusykilan yang mungkin ada dalam kalangan orang ramai tentang penayangan video seks itu.
Misalnya, wartawan sepatutnya bertanyakan dengan lebih kritis keadaan di mana video berkenaan diperolehi; kenapa pihak yang menayangkan video mahu bersikap lempar batu sorok tangan dengan menyorok identitinya (pada hari penayangan berlangsung); adakah secara kebetulan pendedahan video seks ini berhampiran dengan waktu pilihanraya Sarawak; kenapa wartawan yang diundang ke tayangan video itu tidak dibenarkan membawa laptop, telefon bimbit, pen dan lain-lain lagi; tidakkah melanggar undang-undang perbuatan menyebar dan menayangkan video lucah di ruang publik di Malaysia?

Dan jika "penganjur" tayangan video seks ini enggan menjawab sedemikian rupa, media harus menyatakan keengganannya untuk membolehkan audiens tahu keadaan sebenar ketika itu dan juga cuba membuat kesimpulan masing-masing.

Soalan-soalan seperti ini juga bermaksud untuk menentukan pemberitaan yang bakal dilakukan pada akhir insiden video seks ini bukanlah menjadi semata-mata satu penulisan berita yang berdasarkan satu PR exerciseyang dikendalikan pihak yang berkenaan.

Sebut nama atau tidak?
"Datuk T" dalam kenyataan medianya terang-terang melempar tuduhan bahawa "aktor" dalam video seks itu adalah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim - walaupun ada dalam kalangan wartawan yang merasakan video itu tidak begitu jelas untuk menentukan yang lelaki itu adalah Anwar sendiri. Dalam hal ini, media perlu melaporkan sepertimana yang diperkatakan oleh "Datuk T", kerana ia tidak memberi makna dengan menyelindung namanya di sebalik frasa "ketua pembangkang utama", tetapi pada masa yang sama memberi isyarat tersirat seperti "ahli politik yang sakit belakang" dan sebagainya.

Namun begitu, ada eloknya bagi media menggunakan ungkapan seperti "Anwar Ibrahim yang didakwa" sebagai orang terlibat dalam video seks tersebut. Ini memberi gambaran bahawa beban membuktikan kesahihan dakwaan itu masih jatuh di bahu "Datuk T" atau pihak lain yang mewakili kepentingan "Datuk T". Kuncinya, laporan wartawan harus membayangkan realiti itu selengkap mungkin - termasuk kemusykilan yang timbul sepanjang kejadian berkenaan berlangsung - agar audiensnya mampu membuat pertimbangan sama ada untuk mempercayai atau tidak tuduhan yang dilemparkan.

Dan seterusnya, sepertimana yang telah dilakukan kebanyakan wartawan, media harus mendapatkan respons dari orang yang didakwa terlibat dalam adegan seks itu, iaitu Anwar sendiri, atau sekurang-kurangnya pihak yang mewakili beliau. Dan jika isterinya, Wan Azizah, dibabitkan pula, beliau juga perlu diberi peluang untuk respons. Prinsipnya ialah media harus bersikap adil kepada pihak tertuduh dengan memberi ruang jawab secukupnya. Perlu diingatkan, ketangkasan dan sikap pihak tertuduh memberi maklum balas, turut menjadi salah satu kayu ukur kepada audiens untuk menilai sendiri - sejauh manakah benarnya tuduhan tersebut.

Dalam hal ini, pihak akhbar online perlu bersikap berhati-hati jika status bebas atau independence serta taraf kredibilitinya mahu dijaga dan dihargai. Ia tidak boleh terikut- ikut dengan rentak tarian media arus perdana yang tidak begitu bebas dari segi ruang kewartawanannya.

Lagipun, akhbar online harus prihatin terhadap kemungkinan suatu usaha untuk memalingkan perhatian umum daripada isu yang lebih mencabar, seperti rasuah yang merebak, kenaikan harga barang, jurang antara si kaya dan si miskin, hubungan etnik dan agama yang meruncing, dan kekurangan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Ini bukanlah bermakna wartawan tidak perlu ambil peduli isu video seks ini, tetapi tidaklah perlu diheretkan perhatian media kepadanya pada jangkamasa yang panjang hingga mengabaikan keprihatinan umum terhadap isu serius yang dinyatakan di atas.

Sesungguhnya, membantu memalit maruah seseorang insan atau kelompok manusia secara sedar adalah sama beratnya seperti pihak media menyapu arang di mukanya hingga mengorbankan kredibilitinya di mata umum.

Kebebasan dan tanggungjawab akhbar di Malaysia semestinya melibatkan pemberitaan yang menjangkau isu atau elemen sensasi seperti video seks ini.
Oleh Mustafa K Anuar 

*Mustafa K Anuar ialah pembaca MerdekaReview dan pengkaji media tanah air.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular