KUALA LUMPUR: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, ketika media di seluruh dunia membincangkan pelbagai isu penting seperti krisis radiasi di Jepun dan kebangkitan rakyat di Timur Tengah, media di negara ini lebih seronok memainkan isu politik berasaskan tuduhan seks dan video lucah.
Menurutnya, masyarakat dunia kini sudah beralih kepada politik baru berasaskan nilai dan idea, namun Malaysia pula seolah mundur ke belakang dengan politik ‘selak kain’ yang langsung tidak memajukan pemikiran rakyat.
“Sudahlah tayangan video lucah dilakukan secara terbuka dan seolah dilindungi penguasa. Malah yang terbaru ‘desparado politik sanggup menghantar buku lucah terus ke rumah orang.
“Buku yang terdapat gambar – gambar bogel dan gambar orang sedang mengadakan hubungan seks, cuma bahagian kepalanya diganti dengan gambar musuh politik mereka.
“Bayangkan di kawasan bandar tempat komik ini diedar ibu dan bapa bekerja, anak balik sekolah melihat buku lucah yang dipos ke rumah,” katanya yang mengaitkan penyebaran buku lucah yang mengaibkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lembah Pantai, baru-baru ini.
Menurut Badrul, apa yang lebih membimbangkan, anak-anak kecil pula didedahkan dengan bahan-bahan berbentuk lucah tersebut, malah lebih parah ada yang menyimpan dan meniru perbuatan buku lucah berkenaan.
“Media arus perdana seperti Utusan Malaysia pula menyiarkan di muka depan aksi lucah begitu juga Buletin Utama TV3, mana pergi nilai kewarasan manusia? Hanya kerana politik kita lakukan semua perkara tersebut,” tegas beliau dalam satu kenyataan.
Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, beliau menganggap tidak salah melakukan sesuatu serangan politik, tetapi ia harus berlandaskan pertembungan idea dan bukan menggunakan politik ‘selak kain’.
“Ketika kempen pilihanraya umum 2008 juga pasukan kempen saya telah didekati dengan orang tidak dikenali dipercayai orang Umno yang memberikan video lucah yang kononnya Khairy Jamaluddin, tanpa pengetahuan saya ada video ini telah tersebar namun sebaik sahaja saya mengetahuinya saya telah mengarahkan semua
dikutip dan dibakar.
“Sebanyak lebih 2000 keping video tersebut telah dibakar. Kini terbaru pula ada pihak yang menghubungi SAMM mengenai kewujudan video seks yang kononya merakamkan aksi seks seorang isteri pimpinan tertinggi negara,” ujar beliau.
Justeru itu, katanya SAMM mengajak rakyat menolak politik selak kain dan mendesak agar pemain – pemain utama politik di Malaysia kembali kepada landasan politik baru dan mendidik rakyat.
“Rakyat diseru menolak politik sensasi selak kain ini dengan menolak ahli-ahli politik yang kelihatan seronok membodohkan rakyat menggunakan politik lucah seperti apa berlaku sekarang. Media yang menjurus kepada perkara yang sama juga harus dijauhkan,” ujar beliau.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=10844