BA’KELALAN: Sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dengan KEADILAN sebagai majoriti, maka Baru Bian akan dilantik sebagai Ketua Menteri yang baru, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menjelaskan demikian pada program perasmian Bilik Gerakan Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’ kelalan di Kampung Lunbawang, malam tadi.“Kenapa kita lantik dia? Sebab dia (Baru) pemimpin rakyat dan manusia yang taat kepada perintah Tuhan.
“Jika di Pulau Pinang, majoritinya orang Cina, maka yang menjadi Ketua Menterinya adalah orang Cina. Begitu juga di Selangor, yang mana penduduk majoritinya adalah orang Melayu,” kata Anwar di hadapan kira-kira 2,300 hadirin.
Anwar berkata, Baru jika menggalas tanggungjawab itu nanti, beliau dikehendaki menyelesaikan masalah berkenaan isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
“Baru Bian apabila kelak diberikan tanggungjawab, maka beliau dikehendaki menyelesaikan perkara ini kerana dia yang paling faham degan masalah ini.
“Sebab itu, dalam keseluruhan 71 kawasan Dewan Undangan Negeri Sarawak, saya memilih untuk berada bersama pengundi di kawasan DUN Ba’kelalan,” katanya.
Baru merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri yang juga calon DUN Ba’kelalan. Beliau akan menentang lawannya dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Willie Liau pada PRN 16 April ini.
Keputusan tersebut diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada sesi penamaan calon DUN itu pagi tadi.
Tambah Anwar, untuk menjadi pemimpin, mesti ada rasa kasih kepada rakyat kerana kita dipilih untuk memegang amanah.
“Cuba kita lihat ke dalam mata anak-anak kita. Apakah harapan kepada mereka? Adakah orang-orang kampung yang duduk jauh di tempat-tempat begini begitu bodoh sehingga tidak punya hati dan perasaan?
“Justeru itulah, maka sekarang kita wajib untuk memberikan sokongan padu kepada semua calon KEADILAN tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya yakin mereka ini mampu menggalas tanggungjawab kepada rakyat sekiranya dipilih sebagai wakil,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=10767