Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, April 6, 2011

Gganu Kita : Pelajar ponteng disyaki minum arak


KEMAMAN – Akhlak pelajar di daerah ini semakin parah apabila segelintir mereka disyaki turut terlibat dengan gejala minum arak dengan penemuan botol dan tin minuman keras itu di beberapa lokasi panas tempat mereka melepak ketika ponteng sekolah.

Sinar Harian difahamkan port ponteng itu mula dikesan turut menjadi lokasi untuk remaja minum minuman haram itu sejak beberapa bulan lalu. 

Susulan itu, bagi membendung masalah keruntuhan akhlak remaja terbabit yang berkait rapat dengan gejala ponteng sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga mengadakan Operasi Bersepadu Basmi Ponteng 2011 sehingga 17 pelajarnya yang cuba mengelak daripada mengikuti aktiviti kokurikulum berjaya dicekup semalam. 

Cubaan pelajar terbabit yang memanjat pagar untuk keluar daripada kawasan sekolah gagal, apabila kelibat mereka dikesan jawatankuasa gerak gempur basmi ponteng yang ketika itu sedang melakukan rondaan sehingga mereka panik dan bertindak melarikan diri ke dalam bas sekolah berdekatan. 

Bagaimanapun, tindakan itu umpama ‘tikus masuk perangkap’ sekali gus memudahkan kerja jawatankuasa gerak gempur ponteng itu kerana dari awal bas itu diletakkan di situ sebagai persediaan mengangkut pelajar yang ditangkap sempena operasi bersepadu tersebut. 

Selain sekolah, operasi bersepadu itu turut membabitkan penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Geliga, Pondok Polis Kuala Kemaman, Rela Kemaman, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kemaman dan 14 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sekitar termasuk JKKK Geliga Baru dan JKKK Rumah Murah Geliga. 

Setiausaha PIBG merangkap Kaunselor SMK Geliga, Jamal Sidek berkata, ujian urin yang dilakukan ke atas pelajar terbabit melibatkan pelajar Tingkatan Satu seramai enam orang, Tingkatan Dua (lima) dan Tingkatan Tiga (enam) itu mendapati semua negatif dadah. 

Menurutnya, pelajar yang ditangkap bertindak memanjat pagar di belakang sekolah kira-kira jam 1.40 tengah hari ketika pelajar lain sibuk mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zuhur sebelum memulakan aktiviti kokurikulum. 

“Setiap Selasa semua pelajar ini diwajibkan mengikuti aktiviti kokurikulum yang akan tamat antara jam 4.30 dan 5 petang. 

“Jadi, bagi mereka tidak ingin mengikuti aktiviti kokurikulum ini mereka akan ponteng, sebab itulah kes ponteng pada setiap Selasa di sekolah ini agak tinggi berbanding hari biasa,” katanya kepada Sinar Harian. 

Menurutnya, gejala ponteng aktiviti kokurikulum dipandang serius kerana markah bagi aktiviti itu akan dikira untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) nanti apabila pelajar tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

“Kehadiran dalam kegiatan kokurikulum adalah sangat penting. Jadi, ibu bapa jangan salahkan sekolah jika markah kokurikulum anak rendah. 

“Sebaliknya ibu bapa perlu pastikan anak mereka wajib hadir aktiviti kokurikulum ini setiap minggu,” katanya. 



Ada kedai jual arak kepada pelajar

Mengulas mengenai gejala minum arak dalam kalangan pelajar di port ponteng, Jamal berkata, kes itu masih lagi disiasat. 

“Pada masa sama, kita difahamkan terdapat kedai tertentu yang tanpa rasa bersalah menjual arak kepada pelajar pada Jumaat di belakang kedai. Difahamkan kedai terbabit terletak di Fikri. Jadi kita minta pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan pelajar yang terdiri daripada remaja Islam tidak terus hanyut. 

“Dalam menangani masalah ini, kita minta ibu bapa turut memainkan peranan dengan memastikan anak mereka tidak terlibat dengan masalah ponteng yang seterusnya boleh mengakibatkan mereka terjebak dengan banyak gejala negatif lain termasuk minum arak, hisap dadah dan hidu gam,” katanya. 

Sementara itu, semua pelajar yang ditangkap itu kemudian diarahkan menunaikan solat Zuhur sebelum mengikuti aktiviti kokurikulum. 

Jamal berkata, semua pelajar itu akan diberikan kaunseling dan tegasnya operasi bersepadu itu akan diadakan secara berterusan. 



Minta pantau kedai jual arak

Pihak berkuasa diminta mengambil langkah segera memantau kedai arak yang dipercayai bebas menjual arak murah sehingga memudahkan pelajar Melayu Islam untuk membeli minuman haram berkenaan. 

Ketua Operasi Bersepadu Basmi Ponteng SMK Geliga merangkap Setiausaha JKKK Kampung Geliga Baru, Zurkanain Zubir berkata, premis perniagaan menjual arak itu perlu dipantau untuk memastikan ia memiliki lesen dan perlu diberi amaran agar tidak menjual minuman keras kepada orang Islam terutama pelajar. 

“Selain memantau kedai jual arak, pihak berkuasa juga perlu memantau kedai menjual rokok yang masih tidak mematuhi arahan dengan menjual rokok mengikut batang kepada remaja di bawah 18 tahun. 

“Tindakan pemilik kedai yang menjual rokok mengikut batang itu dan bukan secara sekotak membolehkan lebih ramai pelajar mampu untuk membeli rokok,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular