"Memang makcik lihat banyak perubahan tapi kemajuan itu untuk dia (BN) dan bukan untuk rakyat. Kata rakyat didahulukan tapi dahulukan apa? Dulu kami ikut BN tapi sampai sekarang kampung makcik tidak ada apa-apa. Kita mahu hak kita. Tanah semua kita mahu balik,"
Dengan berakhirnya proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ke- 10, maka bermulalah kempen pilihan raya yang pastinya menjanjikan 1001 kisah, tragedi mahupun insiden yang tentunya mencuri tumpuan ramai.
Seramai 979,796 pemilih berdaftar, termasuk 18,363 pengundi pos akan dihidang dengan pelbagai isu setempat dan nasional menjelang hari pengundian yang dijadualkan berlangsung 16 April depan.
Dalam keghairahan pimpinan pelbagai parti merebut 71 kerusi di seluruh negeri itu hingga alpa pada perit jerih rakyat Sarawak di kawasan luar bandar yang terus bergelut dengan kos sara hidup yang semakin mengerunkan.
Individu yang sering dikecam hebat bersabit kemunduran dan kemiskinan rakyat negeri ini adalah Ketua Menterinya sendiri, Tan Sri Taib Mahmud.
Meskipun dikecam, dicabar, didesak bertali arus dari pelbagai pihak, Taib seolah- olah kebal dan masih melangkah yakin tatkala menghadiri majlis keramaian anjuran UMNO BN.
Taib seringkali dicabar kreadibilitinya bersabit amalan korni dan rasuah di negeri itu yang jelas tidak diagihkan kepada rakyat secara keseluruhan.
Pemerintahan yang terlampau lama...menyaksikan Taib seolah- olah 'hilang idea' untuk menaiktaraf kehidupan rakyat bumi kenyalang itu.
Hakikat yang tidak dapat disangkal adalah Sarawak berada di tangga keempat negeri paling miskin di Malaysia walhal hasil mahsul negeri itu jauh meninggalkan apa yang ada di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Meskipun kerajaan UMNO BN berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dan kemiskinan tegar, berbanding 40 tahun lalu, namun ia tidak memadai jika dibandingkan dengan 'kuasa dana' yang ada pada negeri ini.
Di kawasan luar bandar, negeri itu nyata masih mundur dari pelbagai segi, baik prasarana, kemudahan kesihatan, persekolahan, bekalan air dan elektrik, dan peluang pekerjaan berbanding Semenanjung Malaysia.
Tinjauan krew Tv Selangor di DUN Muara Tuang mendapati, rata- rata masyarakat dikawasan itu masih hidup dalam serba kekurangan. Ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.
Mereka berhempas pulas meneruskan kehidupan dengan pendapatan kurang RM500 sebulan. Ada di antara mereka turut mengeluh kerana sukar untuk mendapatkan lesen perniagaan daripada kerajaan tempatan.
Justeru purata perbelanjaan setiap hari untuk sebuah keluarga berjumlah RM16 sehari.
Seorang ibu tunggal, Tauwiah Hj. Subhi yang ditemuramah Tv Selangor berkata, beliau pernah memohon bantuan daripada jabatan kebajikan negeri itu namun tidak dilayan dengan alasan beliau mempunyai kemudahan asas secukupnya.
"Suami akan yang beli rumah dan TV semua tapi dia sudah tinggalkan kami. Tapi duit tidak ada. Macam mana mahu cari duit beri makan anak? "Harap pilihanraya (PR) menang. Dapat ubah nasib ibu tunggal seperti saya.
Saya tiada pendapatan. Minta lesen untuk jual air tidak diberi. Minta bantuan anak sekolah pun tidak dapat. Dah mohon tapi tidak dapat. Harap kali ini dapat merubah nasib saya dan ibu tunggal yang lain," jelasnya.
Beliau menambah, masih ramai ibu tunggal yang diabaikan kerajaan negeri itu berikutan kurangnya perhatian dari sudut kemanusiaan.
Dalam pada itu, seorang nelayan di Muara Tuang, Mohamad Ismail yang ditemui berkata, pendapatan RM300 sebulan hasil tangkapan ikan sangat membebankan.
Keperitan hidupnya bertambah rumit apabila kerajaan persekutuan baru- baru ini bertindak menaikkan harga bahan mentah, petrol yang secara automatiknya akan mendorong kepada kenaikan harga barangan lain umpamanya makan dan keperluan asas yang lain.
"Minyak naik tapi gaji sikit. RM300 bayar minyak tiap-tiap bulan tidak cukup. Minyak dan makanan terlalu mahal. Dulu kami mampu, jangan fikir kerajaan sahaja yang boleh beli barang mahal. Kami tidak dapat beli kerana gaji kami umpama kais pagi makan pagi," jelasnya.
Mohamad turut menyuarakan kekesalan berhubung peruntukan yang dijanjikan oleh kerajaan BN, namun tidak sampai kepada rakyat di kawasan itu.
"Saya mahu perubahan seperti bantuan kepada orang miskin. Di kampung ini, beberapa orang sahaja dapat. Kami hanya kerja nelayan dan kontraktor, gaji tidak cukup. Bagaimana mahu tolong ibu bapa?," ujarnya lagi.
PAS kali ini meletakkan sandaran kepada calon muslimat, Noraini Hamzah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menentang calon BN yang juga adik kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud.
Walaupun kali pertama PAS meletakkan calon di DUN itu, parti itu optimis dengan kebolehan Noraini menangani isu-isu berkepentingan rakyat seraya memikul amanah perjuangan Pakatan Rakyat membawa gelombang reformasi ke negeri itu.
Tv Selangor turut mendapatkan reaksi masyarakat yang telah menetap di situ sepanjang pemerintahan Taib Mahmud.
"Mereka buat macam-macam pada Datuk Seri Anwar jadi rakyat kurang faham apa yang berlaku. Bila PAS masuk sekarang memang ada rasa keinginan (untuk berubah).
"Banyak sebabnya. Dia hanya memenntingkan saudara mara sahaja. Tiada kesempatan bagi orang lain. Kebanyakkan mereka mahu berkuasa di sini seumur hidup. Kita minta mudah-mudahan ada perubahan sebab PAS sudah bertapak di sini," kata Abdul Rahman Dhobi yang juga suku kaum Melayu di Kota Samarahan.
Pada PRN Sarawak kali ini, Pakatan Rakyat memberi tumpuan sepenuhnya untuk menidakkan majoriti dua pertiga BN berbanding sekaligus memberi impak pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.
Justeru Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama jentera kepimpinan Pakatan Rakyat mengorak langkah secara lebih agresif untuk lebih mendekati rakyat di Bumi Kenyalang walaupun dipalitkan dengan pelbagai cubaan untuk membunuh kariernya.
Sehubungan dengan itu rakyat di negeri Sarawak menuntut kesamarataan seperti masyarakat di Semenanjung Malaysia yang lebih maju dan bertaraf kehidupan lebih baik.
Saadiah Kadir seorang peniaga sambilan yang ditemui berkata, peruntukan kepada rakyat Sarawak khususnya masih tidak cukup jikalau. Ini berikutan kurangnya peluang pekerjaan untuk kebanyakkan masyarakat yang duduk di kawasan pendalaman.
"Walaupun suami kami ada kerja, macam kami kerja bawahan gaji hanya RM400 tidak cukup. Tidak cukup untuk tampung isi rumah.
"Siapa-siapa memimpin pun kita mesti mahu perubahan. Walaupun ada perubahan dan bantuan tetapi masih tidak cukup seperti Semenanjung, Sarawak itu mundur sikit. Kita mahu setaraf dengan orang Semenanjung dari segi gaji dan sebagainya," kata Saadiah.
Turut disuarakan keluhan rakyat terhadap pembangunan yang kurang memberi fokus kepada prasarana dan kemudahan asas selain janji-janji kewangan yang mengaburi mata masyarakat.
"Memang makcik lihat banyak perubahan tapi kemajuan itu untuk dia (BN) dan bukan untuk rakyat. Kata rakyat didahulukan tapi dahulukan apa? Tapi tidak stabil. Dulu kami ikut BN tapi sampai sekarang kampung makcik tidak ada apa-apa. Kita mahu hak kita. Tanah semua kita mahu balik,"
"Taib mana tahu rakyat senang atau susah. Dia tidak masuk kampung kita. Kalau dia janji nak hadir tapi hanya hantar wakil," katanya.
Sesungguhnya rakyat menjadi penentu pada 16 April nanti untuk mengangkat martabat yang telah ditindas sejak sekian lama oleh pemerintahan BN menjelang PRN Sarawak ke 10 kali ini.
Pecahan kerusi menyaksikan PKR bertanding di 47 buah kawasan manakala DAP 15 dan Pas 5. Justeru untuk menidakkan majoriti dua pertiga BN, Pakatan Rakyat perlu memenangi sekurang-kurangnya 24 buah kerusi.