SHAH ALAM: Tidak puas menyebar komik lucah bertajuk ‘Kisah Juara Raja Lawak’ bagi mengaibkan pimpinan Pakatan Rakyat, pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) terus memainkan sentimen politik lucah, kali ini dengan menyebarkan majalah porno di sekolah.
Hal itu disedari Ketua Biro Pendidikan KEADILAN, Abbas Awang yang menerima majalah porno berjudul ‘Kisah Seorang Sifu Teragung Di Abad Ini. Mentor 5 Bersama Berganding Bahu Mengejar Impian Yang Satu, Tunjuk Ajarku Sifu‘ daripada seorang guru Sekolah Kebangsaan Meru di Persiaran Hamzah, Kapar pagi tadi.
Bercakap kepada Keadilan Daily, beliau berkata, majalah 16 halaman itu penuh dengan gambar bogel yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diubah suai.
“Majalah itu penuh gambar bogel yang menjijikkan. Gambar lelaki tersebut diubah suai dengan gambar kepala Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menggunakan badan orang lain,” katanya ketika dalam perjalanan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, jam 6.30 petang ini.
Mengulas lanjut, beliau kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab itu dan menyuarakan kebimbangannya berikutan majalah porno itu turut diedar ke sekolah dan dikhuatiri jatuh ke tangan murid.
“Kita bimbang sekiranya majalah itu diterima pelajar sekolah dan tidak mustahil akan banyak lagi masalah sosial remaja. Perkara ini perlu dibanteras secepat mungkin memandangkan sudah menular ke sekolah,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=10890