Grab the widget  IWeb Gator

Sunday, March 6, 2011

Ulasan Ringkas PRK Merlimau & Kerdau

Terima Kekalahan, Baiki Kelemahan!

TAHNIAH kepada kedua calon UBN di Merlimau dan Kerdau kerana berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti memuaskan. UBN boleh tersenyum lebar dengan kemenangan itu.

Muhyiddin Yassin menyifatkan kemenangan itu menandakan endorsement rakyat terhadap projek-projek dilaksanakan oleh kerajaan. Muhyiddin tidak pun menyebut kemenangan itu menandakan slogan 1 Malaysia diterima rakyat. Kenapa?

Kata Muhyiddin juga kemenangan itu menunjukkan Pas ditolak oleh rakyat. Betulkah?

Ulasan Muhyiddin itu hanya untuk menyedapkan hati saja. Ulasan makan pisang selepas kenyang! Kalau dilihat kepada jumlah undi dipunggut Pas, Pas tidak terjejas banyak di kedua pilihan raya berkenaan. Pas masih boleh mengekalkan undi yang diraih dalam pilihan raya umum ke-12 lalu.

kekalahan Pas itu kekalahan yang adil. Di Merlimau calon Pas Yuhaizat Abdullah memperolehi sebanyak 2,319 berbanding undi dengan dicapai Jasme Tompang dalam pilihan raya umum ke-12 lalu sebanyak 2,827. Di mana kalau diperhatikan Pas kehilangan hanya 508 undi saja.

Kehilangan undi Pas ini wajar kerana pilihan raya itu pilihan raya kecil di mana ianya berpihak kepada UBN. Peningkatan undi kepada UBN bukan menjadi petanda besar bahawa sudah ada momentum baru untuk parti berkenaan. Umum tahu bagaimana situasi dan kondisi pada sesuatu pilihan raya kecil, UBN selalu membolot dengan caranya.

Sebaliknya di Kerdau calon Pas, Hasanuddin Salim mendapat 2,336 berbanding dengan undi dicapai dalam tahun 2008. Hasanuddin berjaya menambah undi sebanyak 184. Ini satu perningkatan walaupun kecil, tetapi hakikatnya undi Pas meningkat. Ada bibit-bibit Pas mampu menambah undi disitu pada pilihan raya akan datang, dan tidak mustahil juga mampu mermapasnya.

Pernah berlaku dalam pilihan raya kecil UBN menang besar, tetapi bila tiba pilihan raya umum mereka kalah. Kerusi Ijok di Selangor adalah bukti paling nyata.

Sekiranya peratus keluar mengundi di Kerdau tidak meningkat mungkin angka itu boleh berubah. Mungkin majoriti calon UBN Syed Ibrahim Syed Ahmad tidak sampai 2,724. Tetapi kerana jumlah pengundi meningkat menyebabkan majoriti juga meningkat.

Sedia maklum, UBN mempunyai segala-galanya, wang, agensi kerajaan dan sebagainya. Dalam pilihan raya itu UBN akan berusaha dengan apa saja untuk menambah majoritinya. Jadi ada kemungkinan UBN membawa balik seberapa ramai pengundi luar untuk mengundi.

Adnan Yaacob dan pemimpin UBN Pahang kena memastikan dengan apa cara sekalipun agar kerusi Kerdau dapat dikekalkan dengan majoriti besar. Kekalahan bermakna memberi malu besar kepada Njajib Razak. Kerana itu UBN akan berbuat apa saja di Kerdau termasuk hal-hal yang tidak pernah difikirkan oleh Pas. Selalunya tektik dan strategi UBN berubah pada setiap pilihan raya dan inilah kepandaian-jahat UBN.

Dalam pilihan raya di Merlimau dan Kerdau itu juga UBN mendapat 'sufaat' daripada SPR yang mana 'sufaat' sebegini tidak akan diperolehi oleh Pas sampai ke hari khiamat selagi SPR berada di bawah UBN. Mungkin Pas boleh mengajar SPR bersyahadat semula agar mereka dapat menjalankan tugas dengan adil, saksama dan berdasarkan kepada prinsip dan konsep penubuhannya, sebagai suruhanjaya bebas.

Cuba soal kenapa pilihan raya itu diadakan hari Ahad, di mana hari cuti awam. Kalaulah pilihan raya itu berlaku di Kelantan, Kedah saya pasti SPR akan menganjak hari pilihan raya supaya jatuh ke hari bekerja. Kenapa? Kenapa? Jawabnya inilah keadilan yang ada kepada SPR. Inilah satu bukti jelas menunjukkan SPR bersubahat dalam memberi sokongan dan menjamin kemenangan kepada UBN. Maka elok kalau Pas dan seluruh rakyat berarak mengadakan Bersih sekali lagi untuk mengajar SPR.

Apapun pilihan raya sudah selesai. Pas harus menerima apa sahaja keputusan yang tertakdir. Post mortem atau bedah siasat saya rasa tidak perlu diadakan. Kerana hasil dan dapatannya sama. Apa dilakukan Pas dalam kedua pilihan raya itu sudah berpuluh kali dilakukan. Jadi tidak perlu kepada bedah siasat, apa lagi kalau ayat sama (kolektif) yang bakal keluar.

Sebaiknya bagi Pas, berfikir apakah dalam situsi seperti hari ini - pilihan raya berkenaan, perlu atau tidak Pas menyertainya. Benar, Pas akan jadikan pilihan raya sebagai medan dakwah, tetapi dalam politik soal strategi dan tektikal juga diperlukan. Dan kalau benar Pas mahu jadikan pilihan raya sebagai mimbar dakwah, Pas perlu membuat analisa sejauh mana keberkesanannya dan sejauh mana keburukannya.

Yang pastinya kini Pas sudah mengalami kekalahan lima kali secara berturut-turut. Bermula di Bagan Pinang, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Pas harus berusaha untuk menangkis psywar UBN kelak yang akan menjaja bahawa undi Melayu kepada Pas sudah semakin merosot dan terus merosot.

Kejatuhan undi Melayu walau atas sebab dan kerana apa tidak harus dipandang sunyi oleh Pas. Menyalahkan musuh biarlah dilakukan oleh penyokong fanatik dan bebal Pas tetapi yang penting pemimpin yang bijak pandai kena menyedari hakikat ini. Sesuatu yang drastik perlu dilakukan Pas sebelum parlimen dibubarkan.

Tahniah kepada ahli dan penyokong Pas serta pertugas yang tetap menjalankan arahan pemimpin dengan setia, ikhlas dan jujur, syurga juga imbuhannya! Wassalam. [wm.kl. 9:20 pm 03/02/11]




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular