KUALA LUMPUR - Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu suruhanjaya, bahawa Teoh Beng Hock dibiarkan sendirian sehingga awal Subuh pada malam dia disiasat SPRM di tingkat 14, bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, 16 Julai 2009.
Mohd Ashraf Mohd Yunus, 27, berkata, beliau mengarahkan Beng Hock menunggu di sofa ruang tamu bilik mesyuarat pendidikan masyarakat setelah selesai siasatan kira-kira jam 12.30 pagi dan selepas itu tidak menemui Beng Hock sehinggalah kira-kira jam 4.45 pagi, sewaktu si mati meminta minum.
”Saya suruh dia tunggu di sofa. Kemudian saya dan Arman Alias (pegawai SPRM) ke bilik pegawai penyiasat, Khairul Anuar Ismail untuk serah hasil siasatan.
”Selepas itu, saya tidak menemui Beng Hock kerana tidak ada arahan lanjut daripada Khairul Anuar,” katanya.
Mendengar keterangan demikian, Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata, sama ada ia adalah sikap biasa semua pegawai SPRM yang seolah-olah tidak menjaga kebajikan kerana membiarkan Beng Hock menunggu selama empat jam.
Mohd Ashraf memberitahu, amalan itu biasa tetapi tidak berleluasa dalam SPRM selain sudah menjadi kebiasan untuk tidak mempedulikan saksi setelah selesai siasatan.
Sewaktu memberi keterangan itu, Mohd Ashraf ditegur kerana mempunyai ‘ingatan terpilih’ (selectif memory) kerana tidak dapat menjawab banyak soalan berkaitan siasatan Beng Hock.
Penolong pegawai penguatkuasa itu ditegur seorang panel, Datuk T Selventhiranathan kerana mendakwa tidak boleh mengingati perbualan antara seorang pegawai SPRM dan Beng Hock pada 15 Julai 2009.
“Nampaknya awak seperti ada daya ingatan terpilih. Ini kes penting dan orang ramai akan mengingati butirannya tetapi awak asyik mengatakan tidak ingat,” katanya.
Mohd Ashraf ialah pegawai yang membantu pegawai penguatkuasa, Arman menyoal siasat Beng Hock berkaitan dakwaan salah guna dana Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah.
Seorang lagi panel, Datuk Abdul Kadir Sulaiman kecewa dengan beberapa jawapan Mohd Ashraf dan menganggap keterangannya sebagai ‘anti-klimaks”.
“Semua ini adalah penting tetapi awak tidak ingat. Kita tidak mahu tuding jari kepada sesiapa. Kita hendakkan kebenaran,” katanya.
Suruhanjaya menyiasat kematian Beng Hock, 30, setelah kematian Setiausaha Politik itu tidak diketahui puncanya.
Mayatnya ditemui di tingkat lima, Plaza Masalam dan dipercayai terjatuh daripada tingkap di tingkat 14, pejabat SPRM.
Suruhanjaya bersidang hari ini. - SH