KUALA LUMPUR, 9 Mac — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan beliau tidak perlu membuat penjelasan kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung tulisan responsnya menyentuh isu “undi PAS masuk syurga”, Ahad lalu.
Ini kerana, jelas Harussani, sekiranya penjelasan diberikan kepada Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan itu akan tetap mengeluarkan kenyaataan yang bercanggah dengan kehendak agama Islam.
Selain itu, Harussani percaya Nik Aziz akan tetap menggunakan hukum agama dalam politik yang boleh mengelirukan umat Islam.
“Saya tak perlu untuk buat penjelasan terhadap beliau (Nik Aziz), kalau saya jelaskan nanti sama juga apa yang akan beliau katakan.
“Saya tegaskan masalah Nik Aziz kerana mengaitkan hukum agama dalam politik, saya tahu dalam Islam politik dan agama memang tak boleh lari tapi masalahnya apabila ada pemimpin yang gunakan hukum Islam untuk raih undi,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Beliau berkata, Nik Aziz tidak layak untuk menentukan sama ada seseorang individu itu masuk syurga atau tidak.
“Syurga adalah hak Tuhan... bukan hak kita sebagai manusia untuk menentukanya.
“Bukan hak kita untuk cakap macam itu, ini adalah kuasa Tuhan,” tegasnya.
Nik Aziz telah menghantar surat rasmi memohon penjelasan Harussani ekoran penyataan “undi PAS masuk syurga” semalam.
Harussani baru-baru ini dilaporkan menasihatkan Nik Aziz, agar tidak menggunakan hukum agama untuk meraih undi kerana dibimbangi mengelirukan umat Islam.
Surat itu dihantar pagi semalam oleh pejabat Nik Aziz.
Mengenai hasrat Dewan Pemuda PAS Perak untuk menjadi orang tengah, Harussani berkata, beliau tidak memerlukan sesiapa untuk mengaturkan pertemuan dengan Nik Aziz.
Sebaliknya, beliau berkata sesiapa sahaja termasuk Nik Aziz jika ingin menemuinya boleh terus datang ke pejabat Mufti Perak.
“Siapa nak jumpa saya, datang jumpa di pejabat saya, saya tak perlu untuk jumpa mereka.
“Bukan saya yang berhasrat untuk mengadakan pertemuan,” kata Harussani.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan kelmarin, Dewan Pemuda PAS Perak berkata pihaknya berhasrat menemukan Harussani dan Nik Aziz berhubung “perang kenyataan” menyentuh isu-isu Islam baru-baru ini.
Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi merealisasikan pertemuan tersebut.
Menurut mereka, sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.
Mereka berpendapat, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.
P/s: Tegasnya, hujah tuan mufti ini amat menyedihkan, dan dalam masa yang sama jelas menunjukkan "kegentarannya" dan membiarkan kejahilan menguasai hujahnya semata-mata mahu mempertahankan sikap dan parti yang disokongnya.
Apa kenyataan TGNA yang dikatakan bercanggah dengan kehendak agama Islam? Apa hukum agama yang digunakan oleh TGNA untuk mengelirukan umat Islam? Menggunakan hukum Islam untuk meraih undi? Apa masalahnya jika apa-apa yang dibangkitkan itu benar dan tidak bercanggah dengan Islam? Jika dia ada hujah yang kukuh, mengapa dia tidak mahu berjumpa dengan TGNA untuk mempertahankan kenyataannya? Kata orang berani kerana benar.
Benar, syurga dan neraka itu hak Allah. Malah Allah yang akan menentukan siapa yang akan ke syurga dan neraka. Dalam konteks politik di Malaysia, berdasarkan logik akal, parti politik Melayu mana yang lebih dekat dengan Islam? Parti politik mana yang lebih cenderung mempertahankan Islam secara keseluruhan, bukannya bersifat hipokrit dan selektif?
Selepas menjawab persoalan itu, timbul pula persoalan ketika seseorang mengundi, apakah hukumnya memilih parti yang pemimpinnya mempersendakan hukum hudud, enggan melaksanakan hukum Islam, pemimpin dan ahlinya terlibat dalam rasuah dan salah laku moral yang lain, pemimpin dan ahlinya menggelapkan wang rakyat, pemimpin dan ahlinya yang tidak mahu menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim sejati? Saya tidak kata PAS itu syumul dan maksum, saya juga tidak kata pemimpin PAS itu tidak tercemar dengan salah laku, namun antara PAS dengan UMCO, mana yang lebih baik?
Apabila si tuan mufti mengatakan bahawa "Siapa nak jumpa saya, datang jumpa di pejabat saya, saya tak perlu untuk jumpa mereka. Bukan saya yang berhasrat untuk mengadakan pertemuan.", maka saya tertanya-tanya beginikah sikap tuan mufti yang nada percakapannya kedengaran agak bongkak. Walhal, dia seharusnya faham bahawa pertemuan antara dia dengan pihak yang satu lagi itu sepatutnya diadakan untuk meleraikan permasalahan yang timbul. Adakah tuan mufti ini takut berhujah? Apakah guna menjadi mufti jika gagal meleraikan permasalah yang timbul?
Adakah tuan mufti ini hanya mampu mengeluarkan fatwa bahawa perbuatan MB kesayangannya ini tidak melanggar hukuman Islam, sedangkan majoriti orang baik yang pandai agama, mahupun orang biasa sepakat mengatakan perbuatan itu melanggar hukum agama?