KUALA LUMPUR, 10 Mac: Mekanisme pelepasan automatik kuota hartanah Bumiputera yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, baru-baru ini, tidak perlu dibimbangi pelbagai pihak kerana ia tidak akan menggadai kepentingan masyarakat Bumiputera.
Menurut peraturan baru itu, pelepasan secara automatik untuk kuota Bumiputera boleh diberikan apabila kemajuan projek di tapak sampai ke tahap 50 peratus, 75 peratus dan 100 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad (gambar) menjelaskan, walaupun automatik, pemaju perlu membuat permohonan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).
Menurut beliau, LPHS perlu memberi jawapan dalam masa 7 hari bekerja bagi setiap permohonan. Sekiranya pemaju tidak mendapat jawapan dalam masa yang ditetapkan, mereka akan mendapat pelepasan otomatik bagi peratus yang dibenarkan.
Katanya, pelepasan untuk tahap 50 peratus adalah 20 peratus dari jumlah baki kuota, untuk tahap 75 peratus adalah 30 peratus dari jumlah baki kuota dan untuk tahap 100 peratus adalah 30 peratus dari jumlah baki kuota.
"Jika pemaju masih tidak boleh menjual kuota Bumiputera 6 bulan selepas mendapat Sijil Layak Menduduki Bangunan, mereka boleh memohon untuk pelepasan bagi kesemua kuota Bumiputera mereka dari satu jawatankuasa khas," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Jawatankuasa tersebut, menurut beliau, dipengerusikan sendiri oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan yang akan membuat keputusan dalam masa 14 hari bekerja dari tarikh permohonan itu.
"Oleh itu, pemaju tidak boleh menjual kuota Bumiputera sesuka hati mereka kerana masih perlu merujuk kepada Kerajaan Negeri. Pelepasan hanyalah otomatik sekiranya Kerajaan Negeri gagal memberi jawapan dalam tempoh yang ditetapkan," jelasnya yang juga Adun Cempaka.
Di dalam menyiapkan mekanisme pelepasan itu, Menteri Besar dan Exco-Exco Kerajaan Negeri telah beberapa kali bertemu dengan wakil-wakil pemaju (REHDA).
Katanya, ada pihak yang bertanya kenapa Kerajaan Negeri hanya mengadakan rundingan dengan REHDA kerana mekanisme itu bukan hanya memberi kesan kepada para pemaju sahaja, tetapi juga kepada masyarakat Bumiputera?
Mereka mempersoalkan kenapa Kerajaan Negeri tidak mengadakan rundingan khusus dengan mereka yang terlibat dalam memperjuangkan nasib masyarakat Bumiputera seperti NGO-NGO, para profesional, ahli-ahli akademik dan individu-individu tersohor.
"Pada hakikatnya, Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan engagement dengan mereka. Pandangan mereka tidak sama sekali disisihkan. Mekanisme baru ini mengambil kira pandangan semua pihak," jelas beliau.