Dari KeadilanDaily
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya kecil (PRK) adalah dua perkara berbeza kerana kemenangan atau kekalahan dalam satu-satu PRK bukan cerminan langsung turun naik sokongan rakyat kepada mana-mana parti.
“Kalau kita lihat pilihan raya umum 2008 sebagai kayu ukur, kita akan sedar sebelumnya kita kalah teruk di Ijok apabila menurunkan Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Dalam masa kurang setahun, kita berjaya mengatasi kekalahan tersebut dan kita bangkit (pada PRU 2008).
“Bukan sahaja Ijok, satu Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat,” kata Anwar.
Anwar berkata demikian sebagai reaksi terhadap dakwaan pihak tertentu bahawa siri kemenangan kecil Barisan Nasional (BN) dalam beberapa PRK mutakhir ini menandakan sokongan rakyat sudah kembali kepada BN.
BN baru sahaja memenangi PRK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau yang diadakan serentak dan sebelum itu PRK Tenang di Johor yang berlangsung dalam suasana banjir.
Mengulas lanjut, Anwar bagaimanapun tetap yakin sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat (PR) akan terus meningkat menjelang PRU akan datang.
“Saya kekal optimis (PR terus mendapat sokongan rakyat),” katanya.
Anwar berkata, cabaran utama PR sekarang ini adalah penyampaian maklumat berkenaan inisiatif Pakatan kepada segenap lapisan masyarakat.
“Kita perlu promosi Buku Jingga dengan lebih berkesan, memastikan pengedarannya sampai ke semua kawasan terutamanya di luar bandar yang masih merupakan satu cabaran,” ujarnya.
Tambah Anwar, turut menjadi cabaran adalah keseluruhan proses pilihanraya yang masih perlu diperbaiki.
“Yang menjadi fokus kita adalah keseluruhan proses pilihan raya yang masih lagi sarat dengan ketidaksempurnaan.
“(Contohnya), tiada akses (buat pemimpin Pakatan Rakyat) kepada media,”
kata Anwar.