SHAH ALAM 14 MAC : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin dibidas kerana dilihat cuba lari daripada tanggungjawabnya menyelesaikan kontroversi penahanan 35'000 kitab Injil berbahasa Melayu di Perlabuhan Klang dan Perlabuhan Kuching dan meletakkan beban itu dibahu Peguam Negara, tan Sri Gani Patail.
Selepas dikritik hebat pelbagai pihak, Hishamuddin akhirnya berkata pihaknya menunggu nasihat daripada Gani dalam mengambil sebarang tindakan.
EXCO Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab, Hishamuddin harus berani membuat keputusan dan tidak bersikap lepas tangan.
"Saya tidak tahu pula hal ini kena dibawa kepada Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan sebagainya. Hishamuddin harus bertanggungjawab pada kuasa yang dia ada. Dia tidak boleh suruh orang lain tentukan bidang kuasa dia dalam isu ini,
"Jadi sekarang ini kita nampak Hishamuddin lari dari tanggungjawab dia. Tak tahu dia takut ke ape. Sekarang orang sarawak tunggu saja," kata Xavier.
Kontroversi penahanan kitab itu sudah berlarutan sejak tahun 2009 lagi apabila 5,000 naskah kitab tersebut ditahan di Perlabuhan Klang, walhal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan untuk kitab tersebut dibawa masuk ke negara ini.
Terbaru, sebanyak 30,000 naskah kitab yang sama sekali lagi ditahan di Perlabuhan Kuching atas alasan ia boleh memudaratkan keselamtan negara.
Hishamuddin dalam reaksinya turut mendakwa penahanan itu dibuat kerana ia berkait dengan isu penggunaan kalimah Allah yang masih berada di Mahkamah Rayuan.
"Tidak timbul isu penggunaan perkataan Allah dan sebagainya. Buku- buku ini sekarang kemana ? Buku ini akan diedarkan kepada siapa ? Jika buku ini akan dibawa kepada orang Melayu, ambillah tindakan. Kita ada perlembagaan ada akta yang tetap yang boleh diambil tindakan," tambahnya lagi.
Sikap Najib yang berdiam diri berhubung isu ini mendapat kritikan pelbagai pihak. Sekaligus slogan 1Malaysia yang sebelum ini gagah dipertahannya mula dipersoalkan.
"1Malaysia tu slogan kosong. tidak bermakna. Isu- isu sebegini tidak diselesai menggunakan slogan ini, macamana hendak selesai masalah ini ? Ini isu 1Malaysia. Semua orang ada hak sama rata,
"Najib takut nak komen. Dia mainkan isu perkauman sekarang. Bukan isu pentadbiran," ujarnya lagi.
Xavier ketika ditanya apakah penyelesaian tuntas untuk isu ini berkata, kitab terjemahan itu harus dikeluarkan dari negara ini dan hanya dibekalkan kepada penganut agama Kristian sahaja.
"Semua orang ada hak untuk beragama. Kitab injil masuk melalui Sarawak sebab ramai rakyat negeri itu menganut agama Kristian,
"Keluarkan kitab Injil ini. Hanya bagi pada orang yang mahu gunakan kitab ini sahaja," katanya.
Lebih 10 peratus daripada rakyat Malaysia beragama Kristian dengan sebilangan besar daripada mereka menetap di Sabah dan Sarawak yang menggunakan Bahasa Melayu untuk majlis- majlis sembahyang.
Tv Selangor/-