Tahu dasar Islam Pas
Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Malaysia (DHPPM), N Balasubramaniam berkata, masyarakat di Kelantan bersikap terbuka berhubung tindakan Kerajaan Negeri melarang penjualan loteri Big Sweep.
Menurutnya, isu ini cuba diperbesarkan pihak luar, terutamanya pemimpin bukan Islam, dengan alasan untuk merosakkan imej Kerajaan Kelantan.
“Banyak kelebihan jika menerima keputusan larangan penjualan tiket loteri itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Balasubramaniam berkata, 10 tahun lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengadakan perbincangan dengan tokoh Budha dan Hindu di negeri itu dan mereka sepakat dengan keputusan yang dilakukan Nik Aziz.
“Nik Aziz tidak akan membuat keputusan tanpa berbincang dengan pihak sepatutnya,” katanya.
Sebelum ini, Exconya, Datuk Takiyuddin Hassan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, Kerajaan Negeri mengharamkan semua bentuk perjudian dan lesen bagi premis serta segala bentuk aktiviti perjudian tidak dikeluarkan di negeri itu. -SH