Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, March 8, 2011

"Gempa Bumi" di Taman Bukit Anggerik, Cheras??


Macam "Gempa Bumi" Landa Rumah Saya - Hotimah

Kuala Lumpur: “Saya sangka gempa bumi melanda kerana dinding rumah runtuh, televisyen serta peralatan lain turut jatuh dan pecah,” kata Hotimah Mundari, 43, pembantu rumah warga Indonesia yang ajalnya hanya dipisahkan dengan jarak dua meter selepas sebuah lori simen yang terbabas dan merempuh rumah majikannya di Taman Bukit Anggerik, Cheras, di sini kelmarin.

Dalam kejadian di persimpangan Jalan 8/154 dari Taman Len Seng menghala ke Taman Alam Damai, jam 12.30 tengah hari itu, pemandu lori, Ong Heng Sai, 52, mati di tempat kejadian akibat tersepit di celah remukan kenderaan berat terbabit, manakala dua lagi mangsa yang menaiki sebuah PERODUA Kembara, parah.

Kejadian berlaku apabila lori simen terbabit dikatakan hilang kawalan di laluan menuruni bukit itu sebelum bergesel dengan sebuah PERODUA Kelisa di depannya menyebabkannya terbabas dan terbalik.

Kenderaan berat terbabit kemudian menghempap Perodua Kembara dari arah bertentangan sebelum merempuh tembok rumah teres dua tingkat lot tepi itu dengan bahagian bawah lori melekat pada dinding rumah.

Menceritakan detik cemas itu, Hotimah berkata, beliau sedang tidur atas sofa di ruang tamu sebelum terdengar dentuman sangat kuat menyebabkannya terkejut sebelum melihat runtuhan dinding tepi serta depan rumah yang disangkanya gempa bumi.

“Ketika itu, saya panik dan tak tahu nak buat apa. Apabila menyelak langsir, barulah saya sedar ada lori besar melekat pada dinding rumah yang jaraknya hanya dua meter dari sofa tempat saya tidur,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Hotimah yang sudah tujuh tahun bekerja di negara ini berkata, ketika kejadian beliau berada di rumah bersama ibu kepada majikannya berusia 77 tahun kerana majikannya itu tinggal di rumah lain di ibu negara. 

Katanya, selepas kejadian itu, beliau menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu belakang, manakala ibu majikannya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Johari Mohd Lazim, berkata sepasukan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras serta Jalan Hang Tuah mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan dua mangsa, masing-masing seorang lelaki dan wanita dalam Perodua Kembara yang terbalik dan remuk teruk itu.

Namun, usaha mengeluarkan mayat pemandu lori simen berdepan kesukaran walaupun bomba mendapatkan bantuan dua jengkaut kerana mangsa tersepit di bawah kenderaan berat terbabit, sebelum berjaya dikeluarkan empat jam kemudian menggunakan sebuah kren.

Beliau turut mengesahkan pemeriksaan mendapati struktur rumah berkenaan masih selamat untuk diduduki walaupun sebahagian dinding depan dan tepi runtuh.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian termasuk kemungkinan brek lori terbabit mengalami kerosakan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular