KUALA LUMPUR 14 MAC: Peguambela Karpal Singh memberi amaran kepada pihak media arus perdana untuk tidak mengeksploitasi perbicaraan fitnah liwat 2, terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim
Menurutnya, mana-mana pihak yang berhasrat berbuat demikian untuk bersiap sedia dikenakan tindakan menghina mahkamah.
"Saya memberi amaran kepada sesiapa yang cuba mengeksploitasi perbicaraan ini terutama Utusan Malaysia, kalau mereka tidak berjaga-jaga, bersiap sedia untuk masuk ke penjara," kata Karpal ketika ditemubual di perkarrangan mahkamah pagi tadi.
Selain Utusan, Karpal turut menegur New Straits Times kerana membocorkan maklumat hujah pemohonan pendakwaraya untuk mendapatkan DNA Datuk Seri Anwar Ibrahim sehari sebelum mahkamah bersidang.
Pendedahan itu disusuli bantahan pertubuhan badan bukan kerajaan pro Umno-BN dan penyokong Umno sendiri di beberapa negeri yang menuntut Anwar menyerahkan DNA untuk tujuan penganalisaan.
Bagaimanapun sambutan terhadap protes itu hambar dengan kira-kira 50 orang sahaja menghadirinya di Petaling Jaya.
Peguamcara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden menafikan di mahkamah bahawa pejabat Peguam Negara bersekongkol dengan Utusan Malaysia dan media lain untuk membocor dokumen hujah beliau sehari sebelum dikemukakan di mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah memberi amaran supaya tiada mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusan mahkamah selagi perbicaraan berlangsung.
Karpal menyifatkan perbuatan membocorkan hujah pendakwaraya bertujuan mempengaruhi hakim untuk mengarahkan Anwar seraya mengaburi mata rakyat tentang hujah pendakwaan yang rapuh.
Tambahnya, semua pihak perlu memandang serius kesalahan menghina mahkamah sekaligus melindungi integriti kehakiman negara.
"Perkara utama adalah apa yang berlaku semalam. Tidak pernah terjadi permohonan disiarkan di internet, ini pertama kali. Serta cara Utusan dan NST membawa perkara itu.