Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, December 22, 2010

‘Sultan Yang Setan’ ditahan


from Blog-list Malaysia 

Polis telah menahan pemilik akaun facebook “Sultan Yang Setan” yang diburu sejak Ogos lepas kerana menyiarkan komen menghina institusi diraja Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan, berkata lelaki berumur 40 tahun itu yang dipercayai mewujudkan akaun itu selepas kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail pada Januari lepas, diberkas di ibu negara pada 29 November lepas.

Turut dirampas ialah lima telefon bimbit dan PDA pelbagai jenis, empat komputer riba, dan perkakas komputer, katanya kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.

Satu pasukan petugas telah menyiasat kes itu selepas lima laporan polis dibuat tentang kewujudan laman itu.

Syed Ismail berkata siasatan mendapati lelaki yang berasal dari ibu Negara dan bergerak sendiri itu menyiarkan komen-komen yang mempunyai unsur menghina institusi diraja.

Akaun tersebut menggunakan alamat e-mel ‘‘pendekar.bentan@gmail.com” namun identiti yang digunakan adalah kepunyaan individu lain, katanya.

Sted Ismail berkata lelaki itu adalah bekas pelajar sebuah universiti tempatan.

“Motif suspek mewujudkan akaun itu adalah untuk memperjuangkan idealism sendiri kerana siasatan mendapati beliau tidak terlibat dengan mana-mana politik,” katanya.

Syed Ismail berkata lelaki itu mendapat pengetahuan untuk menggunakan internet melalui pembelajaran sendiri selain menggunakan perisian tertentu yang boleh menyembunyikan identitinya.

Katanya tiga orang telah ditahan berhubung kes seumpamanya.

“Kertas siasatan telah diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya.

Beliau menasihati para pengguna internet supaya menjaga keselamatan alat-alat yang digunakan untuk membuat capaian internet seperti ‘‘wireless router’’ supaya mendaftar keluar jika tidak lagi digunakan.

“Jika tidak mahir dalam penggunaannya dapatkan nasihat pakar cara untuk menggunakannya selain berhati-hati jika ada orang yang tidak dikenali menggunakan capaian internet di rumah,” katanya.

Bagi pengguna laman sosial seperti Facebook, Myspace dan Friendster, Syed Ismail menasihatkan mereka supaya tidak mendedahkan maklumat diri dan gambar kepada individu tidak dikenali.

“Jangan tulis sebarang unsur fitnah dan hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam dalam laman-laman sosial kerana polis mampu mengesan sebarang hebahan yang salah,” katanya. — Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular