ALOR GAJAH, 24 Dis: Jentera Pilihanraya PAS Negeri Melaka akan turun habis-habisan bagi memastikan calon Pakatan Rakyat daripada PAS menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Tenang yang akan diadakan pada 30 Januari nanti. Setiausaha Jentera Pilihanraya Negeri (JPN) Melaka, Bahiki Ismail berkata seperti biasa pada mana-mana pilihanraya kecil JPN Melaka akan menyediakan sepasukan petugas sepenuh masa yang mahir sepanjang kempen PRK di mana-mana sahaja ianya diadakan.
"Kita memang komited membantu calon PR walau di mana sahaja PRK hatta pada PRK Sibu tempoh hari, kali ini kita akan lebih bersedia kerana Tenang adalah dekat lokasinya dengan Melaka. "Jentera Melaka akan sentiasa patuh dan akur dengan arahan pimpinan PR dalam apa juga gerakerja dan strategi yang digunakan oleh pimpinan," ujar Bahiki yang juga Setiausaha PAS Kawasan Alor Gajah. Bahiki berkata, JPN negeri menjadikan gerak kerja kempen di mana-mana PRK sebagai medan latihan untuk dipraktikkan di Melaka menjelang pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi. "Petugas-petugas dari Melaka memang sentiasa komited dan bermotivasi tinggi untuk membantu kemenangan PR di Tenang," kata Bahiki. Menurutnya, JPN Melaka menyediakan jentera yang lengkap termasuk ketua kontinjen, petugas pentadbiran, penerangan, jentera kempen, gerak saraf dan lain-lain. "Kami sekarang sedang menunggu arahan rasmi dari pimpinan pusat dan pihak akan mengadakan mesyuarat tergempar sebaik sahaja menerima arahan dari pusat," tambahnya. Dalam pilihan raya umum lalu, bekas Adun Tenang, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha mempertahankan kerusi Dun tersebut menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi. Sulaiman mendapat 6,367 undi, manakala Mohd Saim memperolehi 3,875 undi. Dun Tenang merupakan salah satu kubu kuat Umno di Johor. SPR menetapkan penamaan calon pada 22 Januari depan. |