Grab the widget  IWeb Gator

Saturday, December 25, 2010

Bapa jadi pembela warga Felcra mulai hari ini


Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 25 Dis — Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) menjadi platform terbaru PAS mulai hari ini untuk membela nasib warga Felcra yang selama ini didakwa disisihkan, kata Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah parti Mazlan Aliman.

Sebelum ini, PAS menggerakkan Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) bagi menyelesaikan masalah yang membabitkan warga peneroka.

“Ketika kita membuat perhimpunan dengan warga Felcra dulu, kita dapat maklum balas positif yang mana mereka mahu sebuah NGO (badan bukan kerajaan) untuk menjadi paltform untuk menyelesaikan masalah-masalah yang wujud.

“Jadi kita tubuhkan Bapa untuk jadi platform bantu warga Felcra dan penubuhan NGO ini selaras dengan usaha kita untuk membantu menyelesaikan masalah, penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam Felcra.

“Dan, melalui NGO ini kita akan tangani masalah yang berbangkit ini dengan lebih efisien,” kata Mazlan yang juga Penasihat Bapa ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sehubungan itu, Mazlan berkata, Bapa yang pengerusinya Razman Zakaria akan menggunakan pelbagai kaedah untuk memastikan nasib warga Felcra dibela dengan sebaik mungkin.

“Bapa juga fungsinya sama (dengan Anak), kita akan bantu warga Felcra... dengar masalah mereka sebelum kita kaji dan lihat ke mana kita boleh bantu. Kalau ia melibatkan masalah di pentadbiran Felcra di kawasan itu kita akan bawa ke sana, kalau melibatkan peringkat pusat kita akan bawa ke sana.

“Kalau perlu melibatkan menteri, kita akan bawa isu itu kepada menteri yang berkaitan. Kita akan serah memorandum.

“Suka ingin saya katakan bahawa kita akan gunakan pelbagai kaedah untuk membantu warga Felcra,” kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini.

Tambah beliau, Bapa akan mula beroperasi di Perak bermula hari ini dan rangkaian di negeri-negeri lain akan dilancarkan kemudian.

“Mengenai Bapa buat masa ini kita akan buka di Perak dulu kerana Perak mempunyai banyak Felcra, selepas itu kita akan buka rangkaian di negeri-negeri lain.

“Selama ini Felcra tiada platform untuk mengadu masalah, jadi dengan adanya Bapa kita boleh membantu,” katanya.

Hari ini Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah mengadakan pelancaran Bapa di Taiping, Perak.

Felcra telah ditubuhkan pada tahun 1966 untuk membangunkan sektor luar bandar dengan membantu penduduknya menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi negara dan seterusnya meningkatkan taraf hidup dan nilai kehidupan mereka.

Felcra kini dipengerusikan Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak, Perak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular