Grab the widget  IWeb Gator

Friday, December 24, 2010

Saya digantung kerana speaker penyiasat, pendakwa dan hakim – Anwar


from Pahang Selamat, Rakyat Nikmat 

BERA: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau bersama tiga ahli parlimen Pakatan Rakyat digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat adalah gara-gara mendedahkan kerajaan Malaysia mendapat khidmat sebuah syarikat Yahudi, Apco.

Ketua Pembangkang di parlimen itu berkata, lebih dikesalkan ialah sikap speaker Dewan Rakyat yang menjadi pengerusi jawatankuasa disiplin parlimen sebagai penyiasat, kemudian bertindak sebagai pendakwa dan akhirnya menjadi hakim.

“Saya digantung kerana mendedahkan tentang kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat milik Yahudi yang berpengkalan di Israel iaitu Apco. Tapi saya ada maklumat tentang semua itu di mana melalui kerjasama Jabatan Perdana Menteri dengan Apco Worlwide sebagai penasihat dan kerajaan membayar sebanyak RM70 juta setahun kepada syarikat Yahudi itu.

“Saya pernah dedahkan di parlimen dulu bahawa slogan Satu Malaysia adalah atas nasihat Apco kerana pentadbiran Ehud Barak pada tahun 1999 yang juga menggunakan khidmat Apco, pernah mengetengah slogan ‘One Israel: Rakyat didahulukan’. Di atas pendedahan inilah saya dirujuk kepada jawatankuasa disiplin kerana mereka menafikan ada perjanjian.

“Tapi saya ada perjanjian itu dan saya bawa malam ini di mana dengan terang perjanjian ditandatangani oleh pegawai kanan di Jabatan Perdana Menteri dengan wakil Apco disaksikan oleh Setiausaha Akhbar Datuk Seri Najib,” jelasnya.

Anwar menjelaskan demikian ketika berceramah dalam program Himpunan Perdana Peneroka Saman Felda Peringkat Kebangsaan di Darul Ikhwan, Mengkarak, dekat sini 17 Disember lalu. Turut berceramah ialah Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat Hanipa Maidin dan Mazlan Aliman, Ketua PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman serta Adun Triang Leong Ngah Ngah.

Khamis lalu Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung Anwar daripada menghadiri persidangan selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel. Turut digantung Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak).

Anwar berkata, Karpal dan Sivarasa ialah ahli jawatankuasa disiplin parlimen dan membantah penggantungan beliau kerana tidak diberi hak membela diri. Begitu juga Azmin yang cuba membelanya melalui peraturan dewan.

“Malangnya speaker telah bertindak sebagai penyiasat, kemudian pendakwa dan akhirnya menjadi hakim sekali gus sehingga kami berempat menjadi mangsa penggantungan,” katanya dihadapan kira-kira 7,000 yang hadir.

Bagaimanapun, menurut Anwar, beliau tidak merasa terkesan atau merencatkan perjuangannya hanya kerana penggantungan itu kerana sebelum inipun pernah dipenjara enam tahun.

“Penggantungan enam bulan itu tidak menjadi masalah kepada saya kerana saya pernah dipenjara selama enam tahun. Bila kelaur tetap sihat dan boleh meneruskan perjuangan.”

Mengenai isu maklumat daripada laman WikiLeaksyang sering dimainkan media bagi menyerang dirinya, beliau berkata akhirnya menjadi ‘senjata makan tuan’ apabila laporan tersebut turut mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pembunuhan wanita Monggolia Antantuya Shaariibuu.

“Selama seminggu media Umno menggunakan laporan WikiLeaks untuk menyerang saya dalam isu fitnah liwat. Tapi rupa-rupanya bukan setakat itu, dalam laman yang sama juga WikiLeaks dedahkan bahawa Najib seorang yang oportunis dan masa depannya dihantui oleh skandal pembunuhan Altantuya. Jadi inilah sebabnya Najib bermati-matian mahu mempertahankan Putrajaya.

“Memang media Umno tutup isu-isu yang melibatkan Najib, Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah yang terkandung dalam laporan laman tersebut tetapi orang mulai nak tahu isu kandungannya. Jadi sekarang ini isu WikiLeaks dah jadi senjata makan tuan,” ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular