Ong Vic Kee | Dec 24, 2010 05:02:13 pm
![]() Dia ditumbuk bertubi-tubi, digari, ditendang dan dipijak. Bermuntah darahnya, terpelantingnya pada dinding. Dia ditendang sehingga jatuh berguling-guling dari tangga. Wang tunainya sebanyak RM13,000 hilang entah ke mana. Dia dipaksa buat laporan bahawa kecederaan ini disebabkan kemalangan jalanraya. Dia diugut untuk diletakkan dadah dan parang dalam keretanya. Malah, perniagaannya, keselamatan dirinya dan keluarganya akan terancam seandainya beliau membuat laporan polis. Chia Bung Hing yang takut dirinya "mati buta-buta" seperti Teoh Beng Hock secara senyap-senyap meninggalkan cop jari darahnya pada dinding, almari, cermin dan pintu tandas di Jabatan Nakrotik ketika dibawa ke sana. Beliau tidak dapat kencing lagi ketika disuruh untuk berbuat demikian kerana habis air kencingnya ketika dipukul polis. Lelaki yang berumur 34 tahun ini pernah dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman. Beliau yang sudah cedera, berdarah dan tidak terdaya untuk berdiri mengadu kepada majistret, bahawa dirinya dipukul polis dan duitnya diambil polis. Chia Bung Hing memohon untuk menghubungi isteri dan ibunya, tetapi semuanya tidak dipeduli. Dia dipukul lagi selepas dibawa keluar mahkamah.Sembunyikan diri dalam longkang Chia Bung Hing yang masih diselubungi ketakutan, tidak berani untuk masuk ke balai polis secara bersendirian. Menurut pembantu peribadi ADUN Damansara Utama, Cheah Wing Yin yang mengaturkan agar ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng membuat aduan bersama Chia di balai polis Shah Alam semalam, berkata mereka tidak menjumpai Chia Bung Hing setelah tiba di balai. Apabila dihubungi dengan telefon, barulah mereka mendapati bahawa Chia Bung Hing bersembunyi di dalam longkang kerana terlalu takut untuk masuk ke Balai Polis secara bersendirian. Meskipun melalui segala penyeksaan ini, Chia Bung Hing masih bersyukur, "Saya berterima kasih kepada Tuhan, kerana nyawa saya masih hidup bila keluar (dari balai polis). Saya ingat, dalam balai polis ... saya akan mati di situ. Saya rasa tak ada harapan lagi. Bila saya minta nak hubungi isteri dan ibu, mereka memijak saya dengan lebih kuat... Jadi saya percaya saya akan mati." Beliau menahan sebak ketika mengenang apa yang berlaku beberapa hari lalu, berkata "Dengan bantuan YB dan peguam, rakyat, jangan perkara ini berulang pada orang lain... Saya masih berani untuk tampil dan menyuarakannya, kerana ia berlaku pada diri saya. Walaupun doktor kata tidak apa lagi (kecederaannya), tapi saya asyik pening kepala saja beberapa hari ni..." Polis nampak wang nota Peristiwa ini berlaku pada jam 11 malam, 18 November, apabila Chia Bung King memandu Proton Waja milikan isterinya dari rumahnya di Tropicana menuju ke Kota Damansara. Beliau ditahan polis yang sedang buat halangan jalan (road block) di PJU 3/15, yang memintanya untuk menunjukkan lesen memandu. Chia berkata polis nampak wang nota RM50-nya, ketika beliau menyeluk saku depan seluarnya. Menurut Chia, polis meminta wang daripadanya, tetapi ditolak Chia. Chia mula ditumbuk bertubi-tubi apabila cuba mengambil gambar polis dengan kamera telefon bimbitnya. Chia terus digari, dan dipukul dalam kereta walaupun beliau menjerit "Tolong, polis pukul orang. Polis mahu duit!" Menurut Chia, pengawal keselamatan di Jalan PJU 3/15 nampak kejadian ini, malah kawannya dalam kereta juga menyaksikan apa yang berlaku. Beliau dibawa ke Balai Polis Dataran Sunway. Beliau terus dipukul, ditendang dan dipijak oleh tujuh orang anggota polis, sehingga Chia muntah darah, cedera di kedua-dua mata, kening sebelah kiri dan di bawah dagu. Kemudian, seorang anggota polis mengambil wang nota milikan Chia yang berjumlah kira-kira RM10,000 dari sakunya dan taburkan di atas lantai. "You mahu duit ambillah," kata polis tersebut, menurut Chia. Chia mendakwa bahawa dirinya mempunyai RM18,000 pada dirinya, dan beliau hanya keluar balai dengan RM5,000. Chia Bung King ialah pemilik tiga buah kedai pembuat bingkai, dan Pengerusi kepada Kuil Guan-Di di Kuala Lumpur-Selangor. Chia menjelaskan bahawa dirinya memungut wang pendapatan di ketiga-tiga kedainya pada hari itu, untuk membayar jamuan hari jadi ibunya di restoran. Malah, beliau membawa dana bantuan untuk seorang penganut agama dari persatuan kuil-nya. Ini menjelaskan mengapa beliau membawa wang tunai begitu banyak pada dirinya ketika ditahan. Diugut polis Chia Bung King diugut untuk membuat laporan bahawa kecederaannya disebabkan kemalangan jalan raya, seandainya beliau mahu dibenarkan untuk menelefon isteri dan ibunya, dan dibebaskan. Malah, polis yang menggarinya berkata, "Kalau you tak buat report itu, saya akan taruh parang besar yang berdarah dan taruh dadah dalam kereta awak kasi you supaya kaukau (dahsyat), dan lokap sama lu long term." Chia ditolak oleh polis yang menggarinya sehingga jatuh berguling-guling dari tingkat ketujuh hingga ke tingkat ketiga. Chia mendengar suara polis berbunyi "Mahu tolak lu mati". Pada ketika itu, Chia sudah muntah darah dan berbuih di mulut. Menurut Chia lagi, beliau dibawa oleh lima anggota polis ke satu padang dan ditolak jatuh, namun beliau tidak mati, dan akhirnya dibawa ke hospital. Chia yang dilepaskan pada 22 Disember, membuat aduan polis semula di balai polis Shah Alam pada 23 Disember bersama Lim Lip Eng. Beliau tidak lagi menaruh kepercayaan kepada polis di IPD Petaling Jaya, dan beliau mendakwa dirinya masih mampu cam polis yang memukulnya. Menurut Lim Lip Eng, IPK Selangor telah mengesahkan bahawa mereka akan menjalankan siasatan ke atas balai polis Kota Damansara dan mengambil keterangan daripada mangsa kes ini. *Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting daripada teks asal. |