KUALA LUMPUR, 7 Mac: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yakin selepas ini akan lebih ramai isteri Menteri Besar dan Ketua Menteri BN yang menuntut pangkat baharu ‘Wanita Pertama’ ciptaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Sedangkan, katanya rakyat menderita menanggung bebanan kenaikan harga barang dan hutang yang semakin bertambah, pemimpin Umno BN pula sibuk sedang mengagih-agihkan kekayaan dan pangkat buat kaum keluarga dan kroni mereka.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah 'menganugerahkan' isterinya, Ragad Waleed Alkurdi pangkat Wanita Pertama Sarawak.
Baginya, ‘anugerah’ itu adalah bukti tamak haloba dan tabiat gila pangkat pemimpin Umno BN yang sudah di tahap ekstrem.
“Inilah tanda-tanda seolah mereka sudah sedar bahawa kuasa perubahan rakyat semakin mara, dan kekalahan BN pada PRU13 nanti adalah suatu yang tidak mustahil.
“Maka, sebelum terlambat pengorup harta rakyat ini segera mengaut harta dan pangkat buat saraan sehingga 7 keturunan sebelum dijatuhkan oleh kuasa rakyat kelak,” ujarnya dalam satu kenyataan.