Peristiwa yang berlaku semalam di Universiti Malaya telah membuktikan bahawa demokrasi kampus telah dicabul dan rakyat seharusnya memandang serius perkara ini.
Tindakan pihak Universiti Malaya melalui opsukan keselamatannya bagi menghalang sekumpulan pelajar untuk bersuara dalam sebuah siding akhbar selama beberapa minit benar-benar menunjukkan bahawa suasana kebebasan bersuara dalam kampus telah diragut oleh pihak pentadbiran universiti.
Kumpulan Pro-Mahasiswa yang merupakan kumpulan terakhir mengadakan sidang akhbar telah dikelilingi oleh pagawal keselamatan yang bertujuan menggagalkan sidang akhbar tersebut. Mengapa bertindak sedemikian terhadap para mahasiswa, sedangkan mereka hanya ingin menlahirkan pandangan mereka. Adakah ini menimbulkan bahaya terhadap suasana kampus?
Kampus adalah tempat lahir pemimpin masyarakat yang akan berkhidmat untuk Negara pada masa depan. Jika Negara ingin melahirkan lapis pemimpin masyarakat yang berkualiti, kita harus menggalakkan pelajar supaya mempunyai pemikiran mandiri dan berfikir kritis. Pelajar perlu diberikan ruang dan kebebasan bersuara. Tetapi malangnya, pihak pentadbiran universiti telah memperkenalkan pelbagai peraturan baru menjelang pilihan raya kampus yang bertujuan hanya untuk menekan dan menyekat mahasiswa, terutamanya kumpulan Pro-M.
Mahasiswa tidak patut menjadi 'pak turut' dalam segala keputusan atau arahan pihak universiti. Jika ini dibiarkan berlaku maka hasrat untuk melihat bakat kepimpinan dalam universiti tidak akan berkembang dengan sihat.
Cara pemerintahan Negara pada masa depan adalah bergantung kepada cabaran-cabaran dan pengalaman yang dihadapi oleh mahasiswa-mahasiswa di institusi pengajian tinggi sekarang. Pada masa yang sama, kerajaan persekutuan kini mencuba sedaya-upaya memberi tekanan kepada barisan pembangkang di Malaysia dengan mengunakan undang-undang yang kejam dan pihak penguatkuasa dengan sewenang-wenangnya.
Saya berharap agar masyarakat bersama-sama memberikan perhatian kepada kekangan yang dihadapi oleh mahasiswa di universiti-universiti di seluruh Malaysia. Jika perlu, kita seharusnya memberikan tekanan seperti usaha untuk mendesak kerajaan membawa keluar pelajar-pelajar Malaysia di Mesir -- bagi mengembalikan kebebasan yang sebenarnya dan kuasa autonomi kepada universiti.
* Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang