Jangan bebankan Rakyat
MANSUH SEMUA BAYARAN TAMBAHAN SEKOLAH
By masalahrakyat
MIRI 17 Februari 2011 - Mutakhir ini, bandaraya Miri sering dikunjungi dengan lawatan rasmi menteri-menteri Kabinet dan baru-baru ini Perdana Menteri hadir ke Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang merangkap Menteri Pelajaran hari ini akan ke pedalaman daerah Limbang menghadiri majlis pengiktirafan salah sebuah sekolah cemerlang, SK Ulu Lubai (syabas dan tahniah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort II).
Dasar Pendidikan Negara Bantu Ringankan Beban Ibubapa
Memang diakui sudah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memastikan anak-anak memperoleh yang terbaik terutama dalam pendidikan. Ibubapa terutama yang mempunyai ramai anak perlu bijak berbelanja agar mereka tidak dibebani kos perbelanjaan persekolahan anak. Ada juga pihak yang berpendapat bahawa beban dipikul ibubapa oleh kos persekolahan anak-anak disebabkan ibubapa tidak bijak membuat perancangan.
Tetapi dasar kerajaan terhadap pendidikan negara juga memainkan peranan yang penting untuk memastikan lahirnya modal insan berilmu tinggi yang bakal menerajui kepimpinan negara. Dasar inilah yang sepatutnya membantu ibubapa di negara ini dalam menanggung beban pendidikan anak-anak mereka.
Saban tahun rakyat disajikan dengan bajet dan peruntukkan dalam Rancangan Malaysia (RMK) khususnya sumbangan tenaga pengajar iaitu guru dengan imbuhan demi imbuhan baik yang bertugas di kawasan bandar atau pedalaman. Ianya tidak dinafikan dan guru berhak mendapatkannya. Namun berjuta dan berbilion juga peruntukkan serta perbelanjaan oleh kerajaan samaada dalam soal bantuan makanan dan sokongan lain seperti pakaian dan buku teks, tetapi setiap kali sesi persekolahan bermula, ibubapa masih juga dibebankan dengan bayaran tambahan dari pihak sekolah.
Mansuh Bayaran Tambahan
Setiap kali sesi persekolahan bermula, kedengaran rintihan ibubapa mengenai bayaran tambahan yang dikenakan pihak sekolah samada ianya telah ditetapkan dalam mesyuarat PIBG sesebuah sekolah atau adakah mengikut garis panduan perkeliling Kementerian Pelajaran atau tidak, ternyata kos bayaran tambahan ini membebankan ibubapa.
Ketika masyarakat kini sedang berhadapan dengan siri kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan asas, ditambah lagi dengan yuran tambahan yang tinggi dikenakan pada awal sesi persekolahan anak-anak ada kemungkinan ibubapa yang berpendapatan rendah khususnya di pedalaman Sarawak mempunyai masalah kewangan dan tidak mustahil ada yang menanggung hutang.
Secara puratanya, ibubapa akan menyediakan perbelanjaan untuk seorang anak berjumlah RM200.00 ke RM300.00 bagi menyediakan pakaian sekolah, daftar yuran, buku-buku dan peralatan lain. Setelah masuk beberapa minggu persekolahan, ibubapa menerima lagi surat menuntut pembayaran tambahan yang umum faham sesebuah sekolah perlu sedikit sumbangan ibubapa untuk menambahbaik lagi pembelajaran di sekolah. Apa yang dikhuatiri ialah bayaran-bayaran tambahan tersebut tidak diselaraskan dan bergantung kepada sesebuah sekolah untuk mengenakan jumlah bayaran.
Bagi mereka yang berkemampuan, ia bukan satu masalah tetapi bagaimana pula dengan ibubapa keluarga (anak) yang ramai, berpendapatan rendah, tiada pekerjaan tetap, perbelanjaan isi rumah yang tinggi?