Pemuda PAS lantik peguam
TUMPAT, 19 Feb. : Seorang peguam dilantik bagi proses pembelaan seorang remaja yang terkena tembakan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dalam kejadian serangan di hadapan pondok Pengawal di Hospital Tumpat, Rabu lalu.
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, peguam dari Jawatankuasa Pemuda Pas negeri juga akan bertanggungjawab untuk membela kes kematian Said Mat Hassan, 56, yang didakwa keluarganya ditendang oleh anggota UPP dalam kejadian di kampung Wakaf King.
Kamarudin berkata, beliau meminta Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia menyiasat lebih terperinci kes kematian Said termasuk anak saudaranya yang cedera terkena tembakan itu.
“Siasatan penuh perlu dilakukan dan pihak berkuasa mesti bertindak telus,” katanya dalam kunjungan ke rumah keluarga Said di Kampung Bendang Pak Yong, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pemuda Pas Tumpat, Rosli Abdullah; Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman; Bendahari Pas Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan juga Penyelia Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor Wan Rosdi Wan Ibrahim serta Pegawai Khas Ahli Parlimen Tumpat, Mohd Nawawi Adam.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Said yang memandu kereta kancil ditahan oleh empat anggota UPP yang menaiki kereta pacuan empat roda kerana mengesyaki Said membawa barangan seludup.
Sebaik tiga anggota UPP keluar dari kenderaannya untuk menahan lelaki terbabit, kelihatan mulutnya berbuih dan mukanya dalam keadaan pucat lalu membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan. Bagaimana pun, mangsa meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tumpat.
Sejurus itu, di perkarangan Hospital Tumpat, seorang anggota UPP Kastam melepaskan dua das tembakan ketika mempertahan dirinya yang mengena kepada Ahmad Nazamuddin menyebabkan kecederaan di dada dan perut.SH
Baca >> UPP