PAS akan mengadakan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa-Jaminan PAS pada 19 Februari bertempat di MBSA Shah Alam, bagi membincangkan masalah Melayu dan Bumiputera di negara ini.
Konvensyen itu akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan membentangkan kertas kerja “jaminan PAS ” pada jam 2.30 petang.
Selepas pilihan raya umum 2008 Umno BN cuba menimbulkan perkara-perkara bersifat sentimen perkauman kononnya Melayu terancam dan terpinggir.
PAS pula digambarkan selaku parti Islam yang terlalu ghairah untuk ke tampuk kekuasaan di peringkat Pusat atau Persekutuan sehingga didakwa sanggup menggadai prinsip dan dasar serta matlamat perjuangan asalnya. PAS juga didakwa membelakangkan kemaslahatan orang Melayu-Islam demi kepentingan poitiknya untuk mendapat sokongan Bukan-Melayu dan Bukan-Islam.
Media jahat UMNO/BN saban hari dan minggu menyerang PAS yang kononnya telah luntur dalam perjuangan Islamnya kerana diperkudakan oleh rakan-rakan Pakatan khususnya DAP. PAS juga didakwa tidak bertegas dalam mempertahankan prinsip-prinsip kerana menjaga ’persahabatan dan muafakat’ politiknya dalam Pakatan dengan PKR.
Tohmahan dan ulangan irama sumbang dicanang di serata tempat dan saban hari di media kerajaan kongkongan Umno/BN. Dakwaan ini seringkali juga termakan oleh golongan atas pagar dan segelintir penyokong PAS sendiri. Tujuan utama strateginya adalah untuk mengurangkan sokongan kelompok Melayu-Islam terhadap parti Islam itu sekaligus menafikan cita-cita PAS mengambil alih kedudukan UMNO selaku teras parti orang Melayu-Islam di negara ini.
PAS kini bersedia untuk mendepani dan menjawab semua serangan dan tohmahan jahat media UMNO/BN ini. PAS tetap akan bertegas dan komited untuk seterusnya melaksanakan strategi serampang dua-matanya, yakni (i) Memantapkan sokongan pengundi tradisi Melayu-Islam dan (ii) Melebarkan pengundi barunya, bagi merealisasikan cita-cita perjuangannya,
Tiga (3) persoalan besar yang menanti huraian dan penerangan dari pihak tertinggi pimpinan PAS akan bakal dihuraikan adalah seperti berikut:
(i) Apakah jaminan PAS dari segi ”Kedudukan Politik” orang Melayu-Islam di negara ini, seandainya kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan di peringkat Persekutuan?
(ii) Apakah jaminan PAS berkenaan ”Kedudukan Ekonomi” orang Melayu-Islam di negara ini, seandainya kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan di peringkat Persekutuan?
(iii) Apakah jaminan PAS dalam isu ”Kedudukan Islam” di negara ini, seandainya kerajaan Pakatan Rakyat mengambil pemerintahan di peringat Persekutuan?
PAS tidak akan cuba menjadi ‘lebih Melayu’ dari Umno. Itu satu yang pasti. Walau bagaimanapun, berbeza dengan seteru politik tradisinya, Umno, paradigma dan strategi pendekatan PAS dalam menggarap permasalahan ini, pertama-tamanya menegaskan bahawa persoalan yang terpenting bagi mewarnai dan mencorak segala dasar-dasar serta kaedah penyelesaian PAS terletak pada paksi utamanya yakni meletakkan Islam yang syumul sebagai dasar perjuangan PAS itu sendiri. Islam adalah dasar yang mewarnai seluruh perjuangan PAS.
Dengan meletakkan asas kefahaman dan penghayatan Islam yang menyeluruh ini, PAS akan mengupas satu persatu tajuk-tajuk di atas dan meletakkan garis pemisah bagaimana parti ini melihat perspektif ‘kedudukan politik’ orang Melayu dan kedudukan ekonomi’ orang Melayu diperjuangakan.
Bagaimanana pula perspektif pembangunan ’people-centric’ dan tidak ‘crony-centric’ akan menjamin masa depan Melayu itu lebih punya kemandirian, dayasaing dan resilience-dayatahan dan akhirnya menjadi Melayu kembali bermaruah dan tidak perlu hidup dengan tongkat yang diberikan Umno di bawah slogan ‘Ketuanan Melayu-Umno’ yang usang sekaligus memangsakan usahawan/korporat Melayu yang tule, akan tetapi menggemukkan kroni yang rakus dan tidak berdaya saing. Perbandingan model dan paradigma “Pengupayaan Bangsa” adalah kunci dan pokok dalam analisis ini.
Ikuti hasil konvensyen nasional ini, yang bukan sahaja dinanti oleh orang Melayu/Bumiputera bahkan dari semua kaum, agama dan budaya. Masa untuk menjawab serangan jahat pemimpim dan tuduhan melampau media Umno/BN telah tiba!