KUALA LUMPUR, 18 Feb – Dr Seah Lay Hoong bertindak defensif dan enggan menjawab beberapa pertanyaan mengenai protokol dan mode operasi makmal beliau.
Malah, peguam Ram Karpal pada sesi prosiding petang terus mempersoalkan cara ujian DNA oleh Dr Seah.
Ram bertanya adakah Makmal Jabatan Kimia Dr Seah mematuhi standard yang ditetapkan badan International Society for Forensic Genetics yang Dr Seah juga merupakan seorang ahlinya.
Peguambela Sankara Nair ketika ditemui wartawan di lobi menyatakan rasa terkejutnya dalam hal ini.
“Saksi kena jawab, tahu atau tidak, tapi ada yang dia tak tahu, sebagai contoh, Dia adalah ahli senior International Society for Forensic Genetics, apabila Ram tanya mengenai intrepertasi graf itu. Prosedur DNA, dia adalah ahli badan antarabangsa, tapi bila kita tanya dia tanya balik, Ini tunjukkan samada dia tak faham atau tak nak bekerjasama,”katanya.
Malah Applied Biosystem Genetic Analysis yang digunakan untuk mengeluarkan laporan tersebut turut dipersoal oleh Ram.
Pasukan pembelaan dibantu pakar DNA Australia Dr Brian McDonald.
Dr Seah menafikan ia perisian lama sebaliknya menyatakan ia selalu dikemaskini dan kali terakhir pada 2007 atau 2008.
Menurut Sankara, tujuan hasil penyiasatan ini ialah bagi melihat samada cara laporan kimia yang digunakan telus dan baik, serta boleh dinilai Hakim Zabidin Mohd Diah.
Kita katakan kalau prosedur tak betul, keputusan tak betul, sebab itu kita soal balas di sini untuk tahu mode atau cara kajian dilakukan, jadi kalau mode itu salah, keputusan akan salah.
Perbicaraan disambung pada Isnin nanti dan peguambela akan terus menyoal balas Dr Seah.