KUALA LUMPUR: Pembantu rumah dari Kemboja akan dibawa masuk ke negara ini bagi memenuhi permintaan semasa majikan yang semakin meningkat berikutan pembekuan berterusan ke atas pembantu rumah oleh kerajaan Indonesia. (Berita Gambar-Gadis Melayu Perkasa)
Sebagai rancangan awal, Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) telah memeterai surat menyatakan hasrat (LOI) dengan Persatuan Agensi Pekerjaan Kemboja (ACRA) di sini semalam.
Surai LOI berkenaan adalah untuk mengkaji pengambilan dan pengurusan pembantu rumah Kemboja di Malaysia.
Timbalan Presiden PAPA, Jeffrey Foo memberitahu pemberita di sini hari ini bahawa sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada wakil dari kedua-dua persatuan itu akan ditubuhkan dalam tempoh 30 hari bagi membincangkan isu-isu berkaitan.
Antara isu tersebut ialah kebajikan pembantu rumah dari negara itu ketika bekerja di Malaysia serta menurunkan had umur pembantu rumah dari negara tersebut dari 21 kepada 18 tahun.
Foo berkata, bagi pihak ACRA, PAPA telah mengemukakan permohonan menurunkan tahap umur kepada kerajaan Malaysia serta rasional di sebalik permohonan itu memandangkan kebanyakan pembantu rumah dari Kemboja berusia dalam lingkungan umur tersebut.
"Bagaimanapun, kami akan memastikan pengambilan pembantu rumah dari peringkat umur itu diberi perlindungan tambahan terhadap sebarang bentuk eksploitasi. Kami akan bincangkan kaedah terbaik supaya golongan itu dalam bekerja secara aman dan kebajikan mereka terjamin," katanya.
Foo berkata isu lain seperti tangga gaji, yuran pengambilan, latihan dan syarat akan dibincangkan dengan ACRA bagi memastikan hanya pembantu rumah yang berkualiti sahaja dihantar ke negara ini.
Pengerusi ACRA, AN Bunhak, berkata sekiranya permohonan menurunkan had umur diluluskan oleh kerajaan Malaysia maka jumlah pembantu rumah Kemboja yang dibawa masuk ke Malaysia boleh ditambah kepada 5,000 orang sebulan berbanding 500 orang setiap bulan ketika ini.
Katanya, kerajaan Kemboja sudah mempunyai peraturan sendiri yang perlu dipatuhi oleh semua anggota ACRA berhubung pengambilan dan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia. Katanya, dengan perjanjian yang bakal dimeterai itu, proses penghantaran pembantu rumah dari Kemboja dapat berjalan lancar.
Malaysia menghadapi masalah kekurangan pembantu rumah asing selepas Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah dari negara itu pada pertengahan tahun 2009 dan kedua-dua negara masih membincangkan beberapa isu termasuk gaji dan cuti mingguan. - BERNAMA