Grab the widget  IWeb Gator

Friday, February 18, 2011

Kes Teoh Beng Hock : Forensik gagal kesan cap jari


KUALA LUMPUR, 18 Feb – Cif Inspektor Mazli Jusoh @ Che Kob dari Unit Forensik memberitahu mahkamah beliau gagal mendapatkan keputusan cap jari yang dikesan pada cermin tingkap yang dipercayai Teoh Beng Hock terjatuh.

Mazli yang bertugas di kontinjen polis Selangor ketika hari kematian Teoh pada 16 Julai 2009 juga berkata, kegagalan mendapatkaan keputusan cap jari tersebut adalah kerana permukaan cermin pada tingkap tersebut dipenuhi habuk dan ini membuatkan beberapa sifat pada cap jari gagal dikesan.

Melalui pemeriksaannya, Mazni menemui enam cap jari pada bingkai tingkap tersebut.
“Jari manusia akan mengeluarkan peluh kecil, jika seseorang menyentuh objek cap jari akan tertinggal pada objek tersebut.
“Sebaliknya jika permukaan objek terdapat habuk, kemungkinan besar jalur cap jari akan hilang kerana terlekat pada habuk, dan ini yang berlaku,”katanya.
Mengulas persoalan yang diajukan oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kemungkinan berlaku pergelutan atau tidak di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu, Mazli memberitahu tiada sebarang unsur berlaku pergelutan menerusi pemerhatian mata kasar di tempat kejadian.
“Pada pengalaman saya, tempat kejadian yang berlaku pergelutan keadaan persekitaran tempat kejadian akan berselerak dan pasti akan meninggalkan kesan terutamanya pada kawasan berhabuk seperti di dinding dan kesan pada permukaan lut sinar (cermin),” terangnya.
Teoh, 30, setiausaha politik anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Sebelum ini keluarga Teoh dan peguam kerajaan negeri Selangor menarik diri dari siasatan kes ini.
Semalam, suruhanjaya memutuskan untuk memanggil semua saksi yang pernah memberi keterangan dalam inkues Teoh sebelum ini.
Mengikut rekod, sepanjang inkues lepas seramai 37 saksi telah dipanggil.
Selain itu Foong berkata terma-terma rujukan di dalam suruhanjaya lebih luas berbanding inkues sebelum ini dan ini membolehkan soalan yang tidak boleh diajukan pada prosiding inkues dikemukakan pada saksi dalam suruhanjaya.
Katanya, bagi saksi yang tidak dapat hadir pihak suruhanjaya akan menerima pakai kenyataan mereka dalam nota prosiding inkues.
Anggota lain suruhanjaya itu ialah bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan manakala pakar forensik terdiri daripada Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular